Puspakom Wangsa Maju akan menutup operasinya selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun ini selepas mendapat arahan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

Sehubungan itu, Puspakom menggesa pelanggan mereka untuk memeriksa kenderaan lebih awal iaitu di dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh tamat permit kenderaan bagi memudahkan mereka sekiranya mereka gagal ujian asal.

Baca Juga:

Memetik Malaysia Gazette, penutupan itu adalah bagi memberi laluan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membina fasiliti baharu di tapak yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya akan membuat pengumuman asing mengenai perancangan untuk meminda waktu perkhidmatan di beberapa pusat pemeriksaan lain di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bagi menangani kesan penutupan tersebut.

“Secara purata, Puspakom Wangsa Maju memeriksa 800 unit kenderaan sehari. Jadi kita perlu membuat kajian semula waktu perkhidmatan beberapa cawangan untuk menampung pengurangan slot pemeriksaan ini,” kata beliau.

Tambahnya lagi, cawangan ganti yang tetap telah pun dikenal pasti. Perkara itu telah persetujui oleh JPJ pada tahun lalu.

“Pelan asal penutupan ini adalah pada Disember 2026. Kami bersetuju untuk menutup lokasi ini kerana ia merupakan antara cawangan paling sibuk, namun terletak di kawasan berkepadatan tinggi.

“Cawangan ganti yang diluluskan JPJ adalah di Bukit Beruntung, Rawang, dan akan siap pada bulan Disember tahun hadapan.

“Walaupun penutupan lebih awal Puspakom Wangsa Maju menimbulkan masalah baharu, kami akur dan akan cuba menampung dengan menambah waktu operasi beberapa cawangan lain,” tambah beliau.