Pelakon, Puteri Sarah Liyana pada ketika ini sedang giat melakukan pengambaran dalam Polis Peronda terbitan Skop Productions dengan memegang watak sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain akui sedang mengalami pelbagai cabaran sewaktu di dalam pembikin, Puteri Sarah mendedahkan tentang kisah seorang wanita yang menyamar sebagai pelakon Nadia Brian menawarkannya jadi ‘peneman’ golongan VIP dengan bayaran setinggi RM15,000.

Menurut laporan Harian Metro, Sarah berkata kejadian itu berlaku pada minggu lalu yang mana mulanya dia ingatkan ia sekadar ajakan untuk tujuan kerja sahaja.
“Dia bertanya jam berapa saya habis ‘shooting’. Dia meminta saya berjumpa seseorang dikenali sebagai Datuk Shahrul pada jam 10 malam. Saya bingung, jumpa orang itu sebab ada tawarankah? Penerbit baharukah?
“Selepas itu dia cakap, foto dan video dilarang. Dia cakap untuk teman-teman minum kopi, bayaran RM15,000. Saya bertegas kepadanya, saya tak buat kerja-kerja begitu.
“Selepas penggambaran, terus balik ke pangkuan anak-anaklah,” katanya ditemui selepas sidang media pelancaran drama TV3 berjudul Polis Peronda di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.
Pada awalnya, Sarah memang menyangka wanita itu adalah Nadia kerana suaranya yang cukup mirip. Mengesyaki sesuatu tidak kena, dia terus hubungi Nadia demi dapatkan kepastian.
“Wanita itu mula menghubungi saya pada jam 9 pagi. Cara-cara dia cakap pun macam Nadia. Sebab saya pun baru jumpa Nadia pada malam sebelumnya di majlis resepsi Janna Nick.
“Saya rasa sesuatu tak kena, lalu terus hubungi Nadia. Saya tanya sama ada dia ada nombor telefon berbeza dan dia jawab tak ada. Saya beritahulah pasal orang guna nombornya menyamar jadi dia.
“Rasanya tempoh hari Nadia ada masukkan dalam Instagram dia,” katanya.
Secara kebetulan sedang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, untuk jayakan penggambaran drama Polis Peronda, Sarah terus membuat laporan mengenai kes menimpanya itu.