Pada awal November ini, ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bakal membuka kedai serbaneka dan kedai makan ‘harga marhaen’.

Kedai serbaneka yang dikenali sebagai ‘Fleximart’ adalah sebuah kedai serbaneka yang memberi tumpuan kepada makanan siap di bawah RM5 dengan barangan runcit yang lain pada harga yang rendah.

Baca Juga:

Sementara kedai makan pula, Kesum menawarkan makanan atas konsep ‘Asal Kenyang, Sedap dan Murah’ bersempena daun kesum. Pada masa sama Kesum juga merupakan singkatan kepada kenyang, sedap dan murah.

“Kedua-dua kedai ini menggunakan konsep perusahaan sosial, iaitu perkongsian di antara penyumbang modal dan pekerja. Keuntungan akan dikongsi bersama di antara penyumbang modal, pekerja dan orang ramai.

“Lebih untung, lebih tinggi gaji pekerja dan keuntungan itu disumbangkan balik supaya harga dapat dikekalkan rendah.

“Saya tidak tahu sama ada model yang julung kalinya dibuat untuk kedai-kedai ini akan berjaya. Niat saya ialah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda dan membantu orang ramai dengan menawarkan makanan dan barangan pada harga yang lebih murah,” kata petik kenyataan Rafizi.

Tambah beliau, jika dua eksperimen sosial ini berjaya, ia merupakan satu peluang yang lebih baik untuk mengembangkannya kepada lebih banyak cawangan.

Pengembangan cawangan itu membolehkan lebih banyak tawaran harga yang lebih rendah dan lebih banyak anak muda dilatih memiliki dan mengendalikan perniagaan sendiri.

Orang ramai dijemput hadir ke pembukaan Fleximart pada hari Sabtu, 1 November 2025 jam 10 pagi di alamat 35, Jalan Plumbum U7/U, Seksyen 7, Shah Alam (sederet dengan Speedmart).
Sementara Kesum pula akan dibuka pada 8 November 2025 jam 9 pagi di alamat 25, Jalan Pandan Indah 1/20, Pandan Indah (sederet dengan KM Bistro).
Rafizi menyatakan beliau akan menjadi sebahagian krew Fleximart dan Kesum pada kedua-dua hari tersebut.