Nota Editor: Kisah ini pada awalnya dipaparkan di Profil FB Abang Long, penulis buku Aku, Dia dan Rezeki. Beliau telah mendapat tahu satu rahsia daripada seorang peniaga yang baik untuk dikongsikan kepada para peniaga. Dengan izin beliau, The Vocket menukilkan semula kisah inspirasi beliau di sini. Semoga pembaca mendapat manfaat daripada kisah ini.

penunggang-motor

Aku kalah!
Aku tewas!

Setiap kali solat Jumaat.

Kebiasaannya, suhu agak panas. Maka, saya lebih suka meletakkan motor di bawah sebuah pohon rendang, hanya beberapa langkah dari masjid.

Kali ini, sewaktu saya sampai, saya bertembung dengan seorang penunggang motor lagi. Menuju ke lokasi yang paling selesa untuk parkir.

Penunggang itu terus menyantuni saya. Dia memberikan jalan dan laluan kepada saya untuk parkir di bawah pohon itu.

Motornya dibelakang motor saya. Terdedah kepada terik mentari. Baik sungguh hati pemuda ini. Bisik hati saya.

Saya kalah dengan budinya !

Saya terus memimpin anak saya ke arah gerai menjual air, yang parkir di luar perkarangan masjid. Saya dan anak berjalan beriringan dengan pemuda itu.

Sebaik kami mendapat air yang dipesan. Pemuda itu terus membuat pembayaran. Harga minuman kami turut dibayar sama. “Terima kasih dik!” saya ucapkan terima kasih kepada pemuda itu.

Saya nampak dengan jelas. Pemuda itu menghulurkan wang kertas RM100. Bakinya tidak dipulangkan oleh peniaga itu.

Pemuda itu terus beredar dari situ. Dalam perjalanan masuk ke dalam kawasan masjid, anak saya terus bertanya.

“Abah, air soya berapa ringgit satu plastik?” Dari soalan itu saya sudah menyedari yang anak saya juga sedang memikirkan perbuatan pemuda dan peniaga tadi. Usai solat Jumaat, saya singgah semula ke gerai tadi. Untuk membeli tau fu fah.

Pelajar madrasah berdekatan begitu ramai berkerumun, semuanya mengambil air soya. Tidak kelihatan pelajar itu membayar harga minuman.

Sewaktu hendak membayar, saya terus bertanya kepada peniaga itu persoalan yang bermain di hati saya.

“Tuan, maaf ya. Sebelum solat Jumaat tadi, ada pemuda yang bayarkan harga minuman saya dan anak saya, kalau tak silap, dia serahkan RM100, tapi tuan tidak memulangkan bakinya?”

Tuan peniaga terus memandang keliling. Jelas wajahnya agak gusar.

“Sebenarnya pemuda itu memang belanja budak tahfiz, tiap minggu hari Jumaat, dia yang tolong bayarkan harga minuman budak-budak tahfiz, semua orang tak tahu, harap tuan juga tak bocorkan rahsia ini.” rayu peniaga itu.

Saya tewas dengan akhlak dan amalan pemuda itu!

BACA: Di Sebalik Rumah Sewa, Tersimpan Kisah Kasih Padu Si Isteri Tercinta

BACA juga: Tindakan Pemuda Kepada Lelaki Tua Cina Di Restoran KFC Mendapat Pujian Ramai

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram