Pemergian Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) baru-baru ini banyak meninggalkan kesan kepada orang ramai. Imej sederhana yang ditampilkan olehnya adalah bukti bahawa pemimpin dan rakyat kebanyakan sebenarnya boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Allahyarham Salahuddin Ayub yang berumur 62 tahun sebelum ini disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada jam 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah selepas mengalami pendarahan otak.

Baca Juga:

Sejak berita pemergian beliau tular dan menjadi tajuk berita utama, ramai yang tersentuh dan meluahkan rasa duka mereka kepada keluarga dan sahabat handai. Selain itu, ada juga sebahagian yang memuat naik beberapa video menunjukkan kebaikan beliau sepanjang menjadi ahli politik dan menteri.

Dalam satu video yang tular baru-baru ini, seorang pengguna Twitter memuat naik sebuah video di mana beliau telah meminta pemandunya untuk pulang ke kampung disebabkan kematian bapa. Kejadian itu berlaku semasa beliau turun ke sebuah restoran dan bermesra bersama rakyat.

Tidak lama selepas itu, beliau kelihatan bergegas keluar dan bertemu dengan pemandunya. Dialog yang dilontarkan oleh beliau dan pemandunya kurang jelas, tetapi kedengaran beberapa kata-kata daripada beliau yang meminta untuk pemandunya bergegas pulang dan berhati-hati memandu.

Melalui komen netizen, difahamkan bahawa pemandu tersebut bukanlah seorang muslim. Beliau berasal daripada Sarawak.

Peribadinya dalam menyantuni pekerjanya dipuji oleh netizen. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa Malaysia telah kehilangan permata yang sukar untuk dicari ganti.

Allahyarham lahir pada 1 Disember 1961 pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2018 hingga 2020 selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Ahli Parlimen Pulai sejak 2018 itu juga dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup selepas PRU15 November tahun lalu. Berketurunan peranakan Melayu-Cina, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha dan enam anak.