Sepuluh tahun yang lalu, imej Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, duduk di kerusi ekonomi AirAsia bersama isterinya, Iriana, telah mencetuskan rasa kagum di kalangan rakyat Indonesia.

Ia simbol seorang pemimpin sederhana yang terbang dengan pesawat komersial dari Jakarta ke Solo semata-mata untuk menghadiri majlis graduasi anaknya.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Namun, sepuluh tahun kemudian, cerita sederhana bertukar menjadi ironi apabila anaknya, Kaesang Pangarep, bersama isterinya, Erina Gudono, dilaporkan menyewa jet peribadi Gulfstream dengan kos sewanya antara $6,000 hingga $8,000 per jam.

Dalam suasana ekonomi Indonesia yang bergolak dan rasa marah rakyat Indonesia dengan cubaan Jokowi memainkan undang-undang dengan tujuan mahu kekal berkuasa mengundang kritikan keras dari rakyat yang merasakan ini sebagai satu tamparan kepada mereka.

Media sosial menjadi medan utama bagi rakyat Indonesia meluahkan rasa tidak puas hati mereka.

Netizen mula membandingkan Jokowi satu dekad lalu dengan gaya hidup mewah anaknya kini.

Salah satu ciapan yang tular adalah dari @senjatanuklir, yang menulis, “10 years ago, he flew economy class to attend his son’s graduation. 10 years later, the same son is now renting a Gulfstream private jet, which costs between $6,000 to $8,000 per hour… In the middle of the country’s chaos…”

Kritikan terhadap gaya hidup mewah ini turut menjadikan Instagram Story Erina Gudono, yang memuat naik pemandangan dari tingkap jet peribadi tersebut dengan kata-kata, “USA here we go 🇺🇸.”

Tindakan ini menambah lagi kemarahan rakyat Indonesia, dengan berjuta-juta mereka berkongsi gambar berwarna biru dengan mesej “Peringatan Darurat,” menzahirkan kebimbangan mereka terhadap keadaan politik semasa di negara itu.

Di sebalik kritikan ini, Jokowi cuba mengatur catur dengan menggunakan Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI), yang majoritinya dikuasai oleh parti-parti utama Indonesia merangka Rang Undang-Undang Pilihan Raya Daerah (RUU Pilkada) yang berpotensi mengukuhkan lagi dinasti politik Jokowi.

RUU ini dilihat sebagai langkah untuk membatalkan keputusan Mahkamah Konstitusi dan memudahkan anak lelaki presiden bertanding jawatan penting di negara itu.

Ini bukan kali pertama undang-undang diubah bagi memudahkan pengaruh politik keluarga Jokowi.

Tahun lalu, perubahan terhadap syarat umur minimum calon presiden dan naib presiden membolehkan Gibran Rakabuming Raka, anak lelaki Jokowi, yang ketika itu berumur 36 tahun, layak menjadi calon Naib Presiden.

Langkah ini mencetuskan kontroversi, terutama apabila Anwar Usman, pakcik Gibran yang juga ipar Jokowi, terlibat dalam perubahan tersebut.

Kini, sepanduk-sepanduk yang mengumumkan “Kaesang 2024-2029 DKI Jakarta” mula muncul, menandakan satu lagi langkah untuk memperkukuhkan dinasti politik Jokowi.

Kaesang, yang baru berumur 29 tahun, dilihat bakal menjadi calon buat kota Jakarta dalam satu usaha Jokowi mahu mengembangkan pengaruh keluarganya di peringkat nasional.

Penyertaan keluarga Jokowi dalam politik turut dikaitkan dengan kepentingan ekonomi, khususnya dalam sektor perlombongan.

Laporan oleh Bersihkan Indonesia pada 2018 mendedahkan bahawa sektor perlombongan merupakan sumber utama pembiayaan kempen politik di Indonesia.

Keluarga Jokowi dan rakan kongsi mereka adalah antara pemain utama dalam industri ini.

Kritikan terhadap keluarga Jokowi bukan sekadar soal gaya hidup mewah tetapi juga pengaruh politik yang semakin kukuh.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar, rakyat Indonesia semakin resah dengan perkembangan politik yang dilihat lebih mementingkan dinasti dan kepentingan ekonomi keluarga Jokowi daripada kepentingan rakyat.

Isu ini bukan sahaja mengundang kemarahan tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai masa depan demokrasi di Indonesia.