Jumlah perjalanan rakyat Indonesia ke luar negara terus melonjak, dengan catatan tertinggi sejak pandemik melanda lima tahun lalu, lapor Detik.

Menurut data yang diumumkan oleh Badan Pusat Statistik (BPS), pada Julai 2025 sahaja, terdapat 869,927 rakyat Indonesia melakukan perjalanan keluar negara, meningkat 19.57% berbanding bulan sebelumnya.

Deputi Bidang Distribusi dan Jasa BPS, Pudji Ismartini, berkata secara kumulatif dari Januari hingga Julai 2025, jumlah perjalanan warga Indonesia ke luar negara mencecah 5.44 juta perjalanan.

Rakyat Indonesia
Sumber: NST

Angka ini bukan sahaja lebih tinggi 1.79% berbanding tempoh sama tahun lalu, tetapi juga menjadi pencapaian tertinggi sejak 2020.

“Secara kumulatif, jumlah perjalanan WNI (Warga Negara Indonesia) ke luar negeri selama Januari hingga Juli 2025 mencapai 5.44 juta perjalanan,” jelas Pudji dalam satu sidang media maya pada Isnin.

Dari segi destinasi, Malaysia kekal menjadi pilihan utama rakyat Indonesia, menyumbang 31.66% daripada keseluruhan perjalanan pada bulan Julai.

Rakyat Indonesia
Sumber: NST

Negara jiran itu diikuti Arab Saudi (18.30%), yang banyak dikaitkan dengan perjalanan umrah, diikuti Singapura (13.55%) dan China (6.24%).

Namun, trend berbeza berlaku dalam sektor pelancongan domestik.

Rakyat Indonesia Melancong Dalam Negara

Jumlah perjalanan wisatawan nusantara (wisnus), iaitu pelancong dalam negara, turun 4.68% pada Julai 2025 kepada 100.20 juta perjalanan.

Walau bagaimanapun, secara tahunan, angka itu masih menunjukkan peningkatan kukuh iaitu 29.72%.

Rakyat Indonesia
Sumber: NST

Pulau Jawa terus mendominasi destinasi domestik dengan 63.89 juta perjalanan atau 63.77% daripada keseluruhan.

Antara negeri paling popular ialah Jawa Barat (17.77 juta), Jawa Timur (17.76 juta) dan Jawa Tengah (11.12 juta).

Sepanjang tujuh bulan pertama 2025, jumlah perjalanan pelancong domestik mencapai 713.98 juta perjalanan, meningkat 19.25% berbanding tahun lalu.