Rakyat Malaysia semakin celik digital, dan ini jelas terlihat melalui peningkatan perbelanjaan dalam talian yang semakin mendominasi ekonomi negara.
Menurut Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid dalam temubualnya bersama Sinar Harian, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad berkata, rakyat Malaysia dianggarkan berbelanja RM1,735 sebulan atau kira-kira RM58 sehari untuk pembelian dalam talian.
Angka ini bukan calang-calang – ia mencerminkan perubahan besar dalam corak perbelanjaan dan gaya hidup masyarakat.
E-Dagang: Pemacu Utama Ekonomi Malaysia
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, perbelanjaan e-dagang di Malaysia berkembang pada kadar 15.4% setahun.

Jumlah perbelanjaan dalam talian mencecah RM707.9 bilion pada tahun 2024, iaitu 36.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ini bermakna lebih satu pertiga daripada ekonomi negara disumbangkan oleh e-dagang,” jelas Dr. Afzanizam.
Beliau turut membandingkan angka ini dengan tahun 2015, di mana sumbangan e-dagang hanya 16.6% daripada KDNK.
Perbelanjaan Rakyat Malaysia Per Kapita: RM20,820 Setahun
Jika dibahagikan dengan populasi Malaysia yang dianggarkan 34 juta pada tahun 2024, perbelanjaan e-dagang per kapita adalah RM20,820 setahun, atau RM1,735 sebulan.
Ini menunjukkan betapa rakyat Malaysia semakin bergantung kepada platform digital untuk memenuhi keperluan harian.
Pertumbuhan e-dagang bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah turut menyumbang kepada pendapatan kerajaan melalui cukai barangan nilai rendah (LVG).
Ini membantu kerajaan mengukuhkan kedudukan kewangan dan seterusnya membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada rakyat Malaysia.
Namun, beliau turut mengingatkan tentang persaingan sengit yang dihadapi oleh peniaga tempatan.
“Peniaga perlu sentiasa meningkatkan kualiti produk dan strategi pemasaran untuk kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif,” katanya.
Walaupun e-dagang membuka banyak peluang, ia juga membawa cabaran tersendiri.
Pengguna perlu bijak mengurus kewangan untuk mengelakkan pembaziran dan hutang yang tidak terkawal.
Disiplin kewangan adalah kunci untuk menikmati manfaat e-dagang tanpa menjejaskan kestabilan kewangan peribadi.