Lebih 620,000 isi rumah di Malaysia dilaporkan gagal membayar bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga September tahun ini, dengan tunggakan yang mencecah angka mengejutkan lebih RM1 bilion, lapor Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Kelestarian Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, semasa sesi Waktu Pertanyaan di Parlimen hari ini.

Menurut Akmal, jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2023, di mana sebanyak 150,000 isi rumah gagal membayar bil elektrik mereka, dengan tunggakan keseluruhan ketika itu berjumlah RM945 juta.

Akmal menyatakan bahawa masalah kewangan mungkin menjadi punca utama peningkatan ini, selain sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang bukan pemilik premis.

“Kadang-kadang pemegang akaun ini bukan pemilik sebenar premis. Ada kes di mana mereka lari begitu sahaja tanpa menyelesaikan bayaran,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail.

Dari segi geografi, Selangor mendahului carta negeri dengan jumlah peminjam tertinggi pada 2023 dan 2024.

Sementara Kuala Lumpur melonjak ke kedudukan kedua pada tahun ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang membangkitkan soalan ini, mengesyaki bahawa jumlah tunggakan yang tinggi boleh menjadi petunjuk kepada keadaan kewangan rakyat Malaysia yang semakin tertekan.

Beliau juga mengkritik tempoh yang diambil oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyambung semula bekalan elektrik selepas pembayaran dibuat, yang kadangkala mengambil masa berjam-jam.

Menjawab kebimbangan ini, Akmal menjelaskan bahawa TNB hanya mengambil tindakan memotong bekalan selepas pelanggan gagal memberikan kerjasama untuk merancang semula jadual pembayaran.

Menurut Akmal, proses ini biasanya mengambil masa sehingga 30 hari sebelum akaun diputuskan dan bekalan elektrik dihentikan.

Selain itu pihak TNB juga sebenarnya tidak mahu sampai ke tahap ini kerana memahami bahawa bekalan elektrik adalah keperluan asas rakyat Malaysia.

Beliau turut menyeru agar pengguna berbincang dengan pihak TNB jika menghadapi masalah kewangan untuk memastikan bekalan tidak terganggu.