Apabila sebut makanan Jepun, pasti ramai mempunyai tanggapan yang ia lebih sihat dan berkhasiat kerana kebiasannya hanya diberikan nasi bersama dengan ikan atau ayam, sayur dan sup sahaja di dalam set bento.
Hal itu membuatkan seorang netizen tempatan yang merasakan individu yang berpendapatan tinggi untuk berhenti membeli juadah nasi campur kerana didakwa tidak berkhasiat seperti makanan Jepun.
“Jika pendapatan bulanan anda RM10 ribu ke atas atau nilai bersih melebihi sejuta, berhentilah makan nasi campur/nasi ekonomi 2 kali sehari semata-mata untuk berjimat!
“Anda sebenarnya membayar dengan mata wang yang berbeza, iaitu kesihatan dan perut anda, yang mungkin menelan belanja lebih banyak pada masa hadapan berbanding apa yang telah anda jimatkan,” tulisnya di Threads.
Bagi dirinya, satu set makanan Jepun yang boleh didapati pada harga RM25 sehingga RM30 ini cukup seimbang dengan segala zat protin, sayur dan sebagainya.

Dia cakap tidak salah untuk memakan nasi ekonomi tetapi jika bergaji besar ada baiknya pertimbangkan juadah dari Jepun dan mendakwa sesuatu yang mahal memberi gambaran ia lebih bagus.
Perbezaan yang didapati antara kedua-dua makanan adalah penggunaan minyak dan gula di dalam hidangan masing-masing.
Tambahnya walaupun anda sekalipun mengambil lauk sayur dan daging di dalam nasi campur, ia masih terisi dengan kandungan minyak dan gula yang banyak sekaligus kuantiti kalori yang diambil dalam seharian didapati berlebihan.
Malah, dia menegaskan seumpama tiada guna mengambil makanan yang dianggap sihat di dalam hidangan nasi campur kerana masih mengandungi jumlah kalori yang tinggi.
Netizen tempatan langsung membidas dakwaan lelaki itu yang menuduh makanan nasi campur di Malaysia tidak berkhasiat berbanding hidangan makanan Jepun seperti Bento.
Ramai berpendapat dengan hidangan nasi berlauk juga boleh menjadi berkhasiat selagi makanan mengandungi bahan yang seimbang seperti ayam atau daging yang digril atau stim, dicampur dengan sayur serta kuantiti nasi yang sedikit.
Menariknya, seorang pengamal kesihatan yang mempunyai pengalaman 20 tahun dengan klien dan berkait gaya hidup sihat berkata dirinya juga memilih nasi campur tetapi yang dikawal kuantitinya dan lebih baik masak sendiri jika mahu mengawal kuantiti kalori di dalam sesuatu juadah.
Sebahagian netizen percaya walaupun kita mempunya persepsi bahawa sesuatu yang murah itu tidak bagus, tidak bermakna boleh pukul rata kerana ada yang tahu memilih makanan yang berkhasiat menerusi menu nasi campur tanpa perlu berbelanja lebih seperti yang disarankan di atas.