Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) hari ini mengeluarkan dapatan Perundingan Awam Kebangsaan 2025 sempena semakan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Kod Kandungan).

Laporan ini memperincikan penglibatan meluas rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang serta keutamaan orang ramai terhadap landskap kandungan negara yang semakin berkembang.

CMCF menerima sejumlah 1,891 penyertaan; suatu tanda aras jelas bahawa komitmen dan minat masyarakat dalam membentuk persekitaran digital yang lebih selamat dan beretika.

Penyumbang merangkumi pelbagai segmen masyarakat, termasuk orang awam, pemain industri, kumpulan advokasi dan para profesional kandungan yang berkongsi pandangan mengenai piawaian kandungan bertanggungjawab dalam era digital.

Golongan belia menjadi penyumbang terbesar dalam perkara ini kerana merekalah yang paling ramai menghabiskan masa di dunia digital; dari media sosial, hiburan hingga AI. Suara mereka penting untuk membentuk persekitaran digital yang lebih selamat dan beretika.

“Perundingan awam ini merupakan ujian ketahanan bagi setiap peruntukan dalam Kod Kandungan. Sokongan dan maklum balas terperinci menunjukkan rakyat Malaysia semakin peka terhadap bagaimana ruang kandungan mereka dibentuk,” kata Mediha Mahmood, CEO CMCF.

Golongan muda merupakan responden terbesar dengan 908 penyertaan.

Seliaan Konten AI antara yang jadi keutamaan

Dapatan utama laporan ini menonjolkan beberapa bidang keutamaan bagi semakan Kod Kandungan baharu, termasuk:

AI dan teknologi baharu: Orang ramai menuntut langkah perlindungan praktikal seperti pelabelan jelas, tanggungjawab individu dan kewajipan realistik untuk platform.

Perlindungan kanak-kanak: Langkah lebih kukuh untuk mencegah dan menangani Bahan Penderaan Seksual Kanak-kanak (CSAM). Maklum balas menunjukkan keperluan peraturan yang lebih jelas dan kurang kekaburan selaras dengan tanggungjawab lebih tinggi terhadap kanak-kanak.

Standard kandungan kanak-kanak: Penerbit dan pencipta perlu mematuhi undang-undang perlindungan kanak-kanak, standard pengelasan dan amalan terbaik untuk memastikan kandungan sesuai usia, tidak ganas dan memupuk nilai positif.

Kepelbagaian dan representasi: Standard kandungan harus memastikan representasi yang adil dan penuh hormat terhadap semua kumpulan, termasuk mereka berdasarkan status migrasi dan warisan Orang Asli.

Keadilan dalam pengendalian aduan: Terdapat sokongan jelas agar Biro Aduan CMCF dapat mengendalikan kes melibatkan kandungan lama atau muncul semula, mencerminkan realiti kandungan digital yang boleh tersebar, berulang atau memberi kesan walaupun selepas diterbitkan.

Inklusiviti dan bahasa hormat: Penggunaan istilah yang tepat, inklusif dan penuh hormat ketika merujuk kepada orang kurang upaya.

“Respons kukuh terhadap konsultasi ini menunjukkan betapa rakyat Malaysia amat mengambil berat tentang integriti persekitaran kandungan mereka. Jelas bahawa masa depan tadbir urus kandungan bukan sahaja akan dibentuk oleh pembuat dasar dan industri, tetapi juga oleh komuniti yang hidup dan berinteraksi dalam ruang tersebut setiap hari,” kata Datuk Rafiq Razali, Pengerusi CMCF.

“Seiring evolusi teknologi, kerangka etika yang membimbing kita juga mesti bergerak seiring. Semakan Kod Kandungan akan menghasilkan dokumen yang lebih inklusif, futuristik dan seimbang antara kebebasan bersuara dengan akauntabiliti dan rasa hormat,” tambah Datuk Rafiq.

Ditubuhkan pada 2004, Content Code merupakan rujukan utama Malaysia bagi standard etika dan amalan terbaik dalam penciptaan serta pengurusan kandungan. Dibangunkan di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), ia menetapkan rangka kerja kawal selia kendiri yang menggalakkan tanggungjawab individu dan kerjasama industri.

Untuk maklumat lanjut dan mengakses Laporan Konsultasi Awam, ia boleh dilayari di sini.