Dekat dengan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, persediaan umat Islam di seluruh negara kini mencapai kemuncaknya.

Bagi peniaga, inilah masa yang paling penting untuk meningkatkan perniagaan terutamanya dalam jualan kelengkapan raya.

Namun, satu video yang menjadi viral baru-baru ini menunjukkan tindakan penguat kuasa yang menyita barangan niaga baju raya di sebuah bazar di Senawang, Negeri Sembilan, telah memicu perbincangan di kalangan warganet.

Video tersebut dikongsi oleh seorang pengguna TikTok yang menggunakan nama senyumkp, di mana penguat kuasa terlihat membawa keluar barangan dari sebuah khemah perniagaan.

Tindakan tersebut disertai dengan kapsyen yang menyatakan bahawa premis perniagaan yang disita adalah dikendalikan oleh warga asing.

“Lagi berapa hari sahaja nak hari terakhir puasa. Bagi sahajalah peluang sama-sama cari rezeki,” tulis N/N.

“Sedihnyaa…Berapa hari lagi nak berniaga macam ini jadi nasib peniaga. Moga diberikan rezeki lain buat mereka,” ujar CetMet

Walaupun terdapat beberapa netizen yang meluahkan rasa simpati terhadap nasib peniaga warga asing, tindakan tersebut mendapat kritikan daripada beberapa pihak yang berpendapat bahawa perasaan kasihan itu tidak bertempat.

“Itu warga asing la kak oii. Nak kesian kenapa pula. Kesian biar bertempat. Sampai ambil hak orang memanglah tak boleh,” kata farahdol hijab.

“Mana ada zalim. Pergi mana-mana negara pun kalau buat salah tetap salah jika langgar undang-undang,” tulis otaigpfc.

“Bila kes warga asing berniaga viral, dia kata penguat kuasa tak buat kerja. Bila buat kerja kata penguat kuasa kejam,” ujar vaticanp.

Mereka menegaskan bahawa undang-undang Malaysia tidak membenarkan warga asing untuk berniaga di kawasan perniagaan tersebut.

Majlis Bandaraya Seremban telah mengadakan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Bazar Aidilfitri di Bazar Aidilfitri, Dataran Senawang pada Rabu lalu.

Dalam operasi tersebut, satu tindakan sitaan dilakukan terhadap perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing.

Selain itu, sebanyak 10 kompaun dikeluarkan kepada peniaga yang tidak mematuhi syarat lesen dan satu kompaun bagi peniaga yang beroperasi tanpa lesen.