Khairy Jamaluddin, atau lebih dikenali sebagai KJ, tidak segan silu memberi pandangannya mengenai liputan media Singapura terhadap isu-isu yang berlaku di Malaysia.
Dalam satu episod terbaharu Keluar Sekejap, KJ meluahkan rasa kurang senangnya terhadap apa yang beliau lihat sebagai kecenderungan media negara jiran untuk menonjolkan sisi negatif Malaysia, terutamanya apabila melibatkan insiden-insiden yang terjadi di negara ini.
KJ memulakan dengan pengakuan bahawa beliau sering meneliti liputan media Singapura apabila berlaku sesuatu yang buruk di Malaysia.
“Saya ni kompetitif,” katanya sambil membayangkan bahawa beliau melihat Singapura sebagai rival utamanya, seolah-olah seperti persaingan sengit antara pemain tenis Rafael Nadal dan Roger Federer.
Menurut KJ, liputan yang diberikan oleh media Singapura, seperti The Straits Times dan Channel News Asia, terhadap insiden seperti sinkhole di Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi tajuk utama, tetapi turut disertakan dengan ulasan yang kritikal.
“Why is this happening? Is KL safe? Adakah benda ini boleh berlaku di Singapura? Of course tidak,” ujar KJ, menggambarkan bagaimana media di Singapura seolah-olah mahu membandingkan keselamatan dan kestabilan kedua-dua negara dengan menyelitkan naratif yang menonjolkan Malaysia dari sudut pandang negatif.
KJ juga tidak menolak kemungkinan bahawa rakyat Singapura memang gemar melihat cerita-cerita yang menjadikan Malaysia kelihatan seperti negara dunia ketiga.
Beliau menyindir bahawa laporan-laporan ini mungkin memberi kepuasan tertentu kepada rakyat Singapura, yang kononnya seronok melihat negara jiran mereka bergelut dengan isu-isu seperti jenayah dan masalah infrastruktur.
KJ turut menyentuh mengenai perspektif yang lebih strategik dalam liputan negatif ini.
Malaysia, menurutnya, semakin dilihat sebagai pesaing utama Singapura dalam menarik pelaburan dan perniagaan antarabangsa, terutamanya dengan kos operasi yang lebih rendah.
Dalam konteks ini, KJ menyifatkan liputan media Singapura sebagai usaha untuk mengekalkan imej Malaysia sebagai negara yang masih tertinggal.
“Bila isu ni timbul, dia akan highlight lah benda ni. Bahawa okey, Malaysia might look nice but actually it’s still a third world country,” jelas KJ, sambil menambah bahawa ini mungkin merupakan strategi media Singapura untuk memastikan Singapura terus kekal di hadapan sebagai destinasi utama perniagaan di rantau ini.