Rakyat Syria kini sedang meraikan kejatuhan Bashar al-Assad selepas lima dekad pemerintahan dinasti berakhir secara tidak dijangka dengan diktator dilaporkan telah melarikan diri ke Moscow.

Tidak ketinggalakan, dalam sebuah video tular di laman TikTok yang dimuat naik oleh @MikeFoxtrot, rakyat Syria di Malaysia turut meraikan jatuhnya pemerintahan kuku besi di kedutaan Syria di Kuala Lumpur.

Dalam video tular tersebut, kelihatan gambar diktator Bashar al-Assad dipijak-pijak bermula dari pintu pagar depan sehingga ke hadapan pintu kedutaan sambil beberapa orang yang lain memegang bendera Syria sambil meraikan kejatuhan Assad.

Perayaan jatuhnya Assad ini dilakukan dengan aman oleh rakyat Syria sambil ditemani dengan alunan muzik. Selain itu, kelihatan rumah keduataan tersebut kosong dan tidak berpenghuni.

Jauh beribu batu dari Malaysia, rakyat Syria kini sedang memenuhi jalan-jalan di Damsyik, menjatuhkan patung dan potret diktator Bashar al-Assad dan bapanya, Hafez.

Bunyi tembakan perayaan dan hon kenderaan menguasai udara, simbol kegembiraan setelah lebih sedekad berada dalam cengkaman rejim autoritarian.

Video dan gambar yang tular menunjukkan rakyat Syria bersatu, memeluk orang tersayang yang telah lama terpisah akibat sistem penjara kejam rejim Assad.

Sebahagian daripada mereka menyerbu istana presiden, menyaksikan kekayaan melampau berupa barangan mewah, kereta pereka terkenal, dan gaya hidup yang sangat berbeza dengan rakyat yang menderita.

The Guardian melaporkan bahawa Bashar al-Assad dan keluarganya telah melarikan diri dari Syria ke Moscow dengan menaiki jet peribadi.

Rusia kini memberikan suaka politik kepada bekas presiden itu, yang meninggalkan tenteranya tanpa arahan.

Jalan utama yang menghubungkan Beirut dan Damsyik dipenuhi seragam tentera, tanda bahawa pihak tentera menyerah kalah.

Keputusan Assad untuk melarikan diri menandakan jatuhnya rejim yang telah mencetuskan salah satu perang paling lama pada abad ke-21.

Perang saudara yang bermula pada 2011 itu meragut lebih 300,000 nyawa, mengakibatkan 100,000 orang hilang, dan memaksa 12 juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, dengan 5.4 juta mencari perlindungan di luar negara.

Untuk rekod, kejutan yang tidak dijangka ini bermula apabila kumpulan pemberontak, Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan Tentera Nasional Syria (SNA) yang disokong Turki, memanfaatkan kelalaian sekutu Assad – Rusia, Iran, dan Hezbollah – yang sibuk dengan perang lain di Ukraine dan Israel.

Dalam masa kurang dua minggu, mereka berjaya merampas bandar demi bandar, akhirnya memasuki Damsyik.

Jurucakap pemberontak mengisytiharkan kemenangan mereka dalam siaran langsung di televisyen, “Kepada mereka yang percaya pada perjuangan kami dan kepada mereka yang tidak, kami umumkan kemenangan revolusi besar Syria selepas 13 tahun hidup dalam sabar dan pengorbanan.”