Bagi ramai rakyat Malaysia, perkataan SISPAA atau Sistem Pengurusan Aduan Awam sering dikaitkan dengan aduan ketidakpuasan hati, kelewatan perkhidmatan atau teguran terhadap salah laku.

Namun, satu perkongsian di platform Threads baru-baru ini membuktikan sebaliknya apabila seorang guru menerima maklum balas rasmi daripada sistem tersebut yang rupanya berisi ucapan penghargaan dan doa daripada anak muridnya.

Perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna Threads bernama Fahmi Fadzli dengan pemegang akaun @fahmifadzli93 itu meraih ratusan ribu tontonan dan mencetuskan pelbagai reaksi positif daripada warga maya.

Ramai yang pada mulanya menyangka ada masalah atau tindakan tertentu yang berlaku, sebelum menyedari bahawa ia sebenarnya satu bentuk penghargaan yang menyentuh hati.

Ucapan Tulus Calon SPM Buat Guru Sejarah

Berdasarkan salinan tiket maklum balas rasmi di bawah Kementerian Pendidikan yang dikongsikan, hantaran tersebut direkodkan di bawah jenis maklum balas penghargaan pada 23 Oktober 2026 jam 8.41 malam.

Penghantarnya ialah seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2026 bernama Muhammad Haziq Ashraf Bin Hair Man, dengan tajuk penghargaan dan mohon restu kepada guru-guru SMK Intan Perdana, dan turut ditujukan kepada Cikgu Fahmi yang mengajar mata pelajaran Sejarah.

Dalam catatan tersebut, pelajar berkenaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala didikan, bimbingan, kesabaran serta komitmen guru sepanjang tempoh persekolahannya.

Dia turut menyifatkan setiap nasihat dan teguran guru sebagai panduan untuk memperbaiki diri serta menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin.

Selain memohon maaf atas segala kesilapan dan kekurangan sepanjang bergelar anak murid, pelajar itu turut mendoakan agar segala ilmu yang dicurahkan menjadi amal jariah serta guru-guru dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan keberkatan.

“Terima kasih, cikgu, atas segala jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai. Jasa cikgu akan sentiasa saya kenang. Semoga saya dapat membalas segala usaha cikgu dengan kejayaan yang membanggakan,” tulisnya dalam maklum balas tersebut.

Guru Ini Terkejut Terima SISPAA, Rupanya Pelajar Hantar Penghargaan
Sumber Gambar: Threads

Ramai Baru Tahu SISPAA Boleh Digunakan Untuk Penghargaan

Di ruangan balasan Threads, ramai pengguna mengakui mereka baru mengetahui bahawa saluran SISPAA boleh dimanfaatkan untuk menghantar penghargaan kepada penjawat awam, termasuk guru dan petugas kesihatan.

Ada yang pada mulanya berasa cemas atau ingin marah kerana menyangka ia berkaitan isu salah laku sebelum membaca isi kandungan tiket tersebut.

Seorang pengguna menulis, “Oh… Ada gak SISPAA yg x menyeramkan ye… Aku kalau dgr je SISPAA benda pertama aku fikir… CIKGU MANA LA KENA TINDAKAN KALI NI…”.

Sementara itu, seorang lagi pengguna berkongsi, “Nasib baik baca gambar tu kalau tak pelik kenapa kena SISPA tapi siap doakan untuk orang yg sispakan tu. Baru tahu rupanya SISPA ni boleh untuk penghargaan”.

Pengalaman serupa turut dikongsikan oleh beberapa warga maya lain yang pernah menggunakan saluran tersebut untuk menghargai jasa pihak tertentu.

Ada yang memaklumkan mereka turut menghantar maklum balas penghargaan kepada guru kelas anak-anak pada penghujung sesi persekolahan, manakala seorang lagi berkongsi bahawa beliau pernah menghantar penghargaan kepada doktor di klinik kesihatan atas layanan yang sangat baik dan mesra.

Doa Dan Pujian Buat Adab Pelajar

Selain terkejut dengan fungsi penghargaan pada sistem berkenaan, ramai warga maya turut memuji adab, budi bahasa dan kematangan penulisan pelajar tersebut.

Susunan ayat yang tertib serta sikap menghormati guru dan memohon restu menjelang peperiksaan SPM menjadi perhatian ramai.

Seorang pengguna memberi komen, “Dari segi penulisan confirmed budak ni pelajar cemerlang dan tiada masalah dgn penjodoh bilangan. Semoga maju jaya adik”.

Pengguna lain pula menulis, “Tahniah ibu bapa dan guru sebab berjaya corakkan anak murid yang berakhlak mulia. Murid ni akan jadi seorang yang berjaya dunia akhirat kelak, InsyaAllah”.

Kisah ini memperlihatkan bahawa penghargaan tidak semestinya datang dalam bentuk besar atau mewah, sebaliknya cukup melalui kata-kata tulus yang disampaikan pada saluran yang betul.

Pada masa sama, perkongsian ini membuka mata lebih ramai pihak bahawa sistem maklum balas awam juga wajar digunakan untuk mengiktiraf usaha dan budi baik insan yang menjalankan amanah mereka setiap hari.