Di dalam era kecerdasan buatan, orang ramai tanpa mengira latar belakang dan profesion sedia menggunakan platform seperti ChatGPT untuk mencari idea bernas dalam menghasilkan sesuatu yang berlainan.

Baru-baru ini, pada majlis tahunan perkumpulan chef-chef terbaik Perancis untuk anugerah Michelin Guide tahun ini, perbualan bukan sahaja tertumpu kepada restoran mana yang telah menambah atau kehilangan bintang malah membincangkan berkaitan penggunaan AI.

chatgpt
Sumber Gambar: France 24

Chef Matan Zaken yang berpangkalan di Paris, dari restoran Nhome berbintang satu, berkata AI mendominasi perbincangan di kalangan chef, walaupun ramai yang keberatan untuk mengakui mereka sudah bergantung pada alat seperti ChatGPT untuk mendapatkan inspirasi dan pembangunan resipi.

““Sebenarnya ramai guna, tapi ego dalam industri ni tinggi,” katanya.

Zaken secara terbuka mengadaptasi AI di dapurnya, menggunakan platform seperti ChatGPT Premium untuk menjana padanan bahanseperti kacang tanah dan bawang putih liar yang mungkin tidak terlintas dalam fikirannya sebelum ini.

Jika dahulu dia perlu menggunakan cara tradisional dengan bermula sesi merasa, kini semua di hujung jari untuk mengakses maklumat berkaitan kimia ataupun infografik makanan dengan seleksi yang besar.

Dalam kolaborasi terbaharu dengan kolektif digital Obvious Art, foto makanan yang dihasilkan oleh AI muncul terlebih dahulu, dan Zaken mencipta hidangan yang sepadan dengannya.

Dengan ini, proses penghasilan sesuatu menu sudah terbalik apabila hasil visualnya terhasil dahulu berbanding sebelumnya yang bermula dengan bahan mentah.

Dalam pada itu, ramai juga chef yang tidak bersetuju penggunaan AI di dalam dunia kulinari.

Beberapa chef terkemuka menegaskan bahawa tiada algoritma yang dapat menggantikan cita rasa manusia atau kreativiti yang diasah melalui latihan bertahun-tahun.

Philippe Etchebest, yang baru sahaja meraih bintang Michelin keduanya, berhujah bahawa walaupun AI mungkin berguna di tempat lain, ia tidak mempunyai tempat dalam kesenian dapur.

Yang lebih mebimbangkan ia menyimpang terlalu jauh daripada tradisi kulinari yang berakar umbi pada hasil tangan si penciptanya iaitu manusia dalam bahasa mudah serta kepekaan rasa seorang tukang masak.

Bagaimanapun, ramai chef nampaknya lebih terbuka untuk menggunakan AI di belakang tabir. Daripada menguruskan jadual kerja dapur hingga meramalkan kos bahan atau jejak karbon, aplikasi telefon seperti Menu dan Fullsoon semakin popular.

Pakar percaya bahawa pangkalan data molekular dan analisis buku masakan boleh merevolusikan padanan rasa dan persembahan makanan, sementara robot mungkin suatu hari nanti mengambil alih kerja persiapan yang memenatkan—termasuk mengupas kentang.