Jika bulan Ramadan tahun-tahun sebelum ini nama Chef Ammar menjadi bualan ramai atas kesedapan masakannya. Namun tahun ini nama beliau menjadi bualan ramai yang netizen dakwa mahu ‘menjatuhkannya’.

Baru-baru ini BFM Radio telah bertemu dan menemubual Chef Ammar di restorannya. Pelbagai perkara didedahkan eksklusif oleh Chef Ammar sendiri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurut Chef Ammar, beliau berhenti berkerja dari hotel kerana isu halal walaupun gajinya pada ketika itu lumayan.

“Selepas saya berhenti daripada kerja hotel, saya susah lebih kurang dua tahun. Sepanjang dua tahun itu saya tidak punyai pendapatan.

“KWSP saya sudah habis, kereta sudah dijual, emas isteri juga saya jual, kamera sendiri dijual. Saya tak boleh bagi anak sendiri makan,” luah Chef Ammar sambil menangis.

Kongsi Chef Ammar lagi, beliau turut dihentam teruk dari belakang dengan kata-kata yang kurang enak didengar seperti mengatakan beliau orang asing, mengarahnya balik kampung (pulang ke Palestin) dan mempersoal apa yang beliau buat di sini (Malaysia).

“Mungkin masa itu tuhan nak bagi saya jadi muflis. Mungkin sebab untung saya dapat daripada berkerja di hotel mempunyai ‘syubhah’,” kata beliau.

Chef Ammar menceritakan beliau pernah berkerja sebagai tukang cuci kereta, tandas masjid. Namun beliau tidak kisah, asalkan anak-anaknya di rumah dapat makan dengan rezeki yang halal.

“Bila kita sudah usaha, kita sudah jadi senang, kita sudah jadi viral, orang tak tahu apa yang saya pernah lalui sebelum ini,” kata chef berasal dari Palestin itu.

Video ‘Riak’ Chef Ammar Tular Undang Kecaman Netizen, Ini Faktanya

Menurutnya, beliau pernah meminta ‘bantuan’ daripada seekor kucing untuk mengubah nasibnya.

“Satu hari, satu malam saya minta tolong daripada binatang (kucing), tahu? Saya ada RM5 dalam poket, saya bagi kucing separuh, saya ambil separuh.

“Saya ambil dia, saya bagi dia makan. Saya minta kucing itu doakan untuk rezeki anak saya. Dari saat itulah kehidupan saya terus berubah sampai sekarang, tuhan bagi rezeki,” jelas Chef Ammar.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi jumlah beberapa kos untuk beroperasi sepanjang bulan Ramadan ini.

Jelas beliau, untuk kos operasi untuk berniaga di dua tapak bazar Ramadan menelan belanja RM500,000. Kos itu melibatkan tapak niaga, barang-barang, pengangkutan, bunting & cetakan.

“Saya mempunyai 43 pekerja. Secara purata mereka di bayar sekitar RM1,500 hingga RM3,000 bergantung pada pengalaman dan kemahiran mereka.

“Kesemua pekerja itu bertugas sepenuhnya untuk perniagaan di bazar Ramadan. Setiap mereka mempunyai ‘tugas khas’ masing-masing seperti jaga nasi, mencuci, kopek & masak telur dan masak daging kambing,” katanya.

Cecah RM90,000 Sehari, Ini Jangkaan Jualan Nasi Arab Chef Ammar Untuk Sebulan

Tambah beliau lagi, kos daging lambshank sudah meningkat dengan ketara. Pada 2019-2020 harganya RM12 satu kilogram, tapi sekarang sudah mencecah RM45 satu kilogram dan dijangka bakal terus meningkat selepas ini.

Apabila ditanya mengenai keuntungan, jelasnya beliau boleh mendapat kira-kira RM300,000 hingga RM400,000 hasil meniaga di bazar Ramadan sahaja.

Hasil keuntungan itu digunakan untuk menampung kos-kos di restoran sekiranya prestasi jualan pada luar bulan Ramadan kurang baik.

“Dapur di restoran ditutup sepanjang bulan Ramadan. Kami mempunyai tiga buah kilang bersaiz 1 setengah tingkat untuk memasak sebelum dijual di bazar.

“Saya perlu bayar kira-kira hampir RM60,000 sewa untuk ketiga-tiga kilang itu,” ujarnya.

Kecewa Dituduh Jual Harga Tel Aviv, Chef Ammar Jelaskan Mengapa Juadahnya Dijual Mahal

Chef Ammar turut akui beliau ‘terasa’ setiap orang berkata kepadanya ‘harga Yahudi’, ‘harga Israel’, ‘harga Tel Aviv’ ekoran harga lambshank dijual dikategorikan mahal.

“Mereka tahu saya berasal dari Palestin. Tapi isteri selalu cakap dengan saya — bang, jangan peduli. Tapi saya degil juga.

“Sebab saya bangga dengan usaha dan kerja kami. Kalau saya boleh jual satu bungkus RM10 saya gembira. Tapi sebab barang-barang yang kami guna memang mahal.

“Saya guna kacang gajus, badam, minyak sapi, beras basmathi berkualiti tinggi, safron, biji labu, kismis sultana, tomato, timun Jepun, sambal mengandungi 24 jenis rempah. Jadi sebab itulah kosnya tinggi,” jelas beliau.

Pertikai Kena Bayar Untuk ‘Take Away’, Chef Ammar Jelaskan Sebab Caj Tambahan Dikenakan

Dalam pada itu, Chef Ammar berkata beliau cuma mengambil gaji sebanyak RM5,000 sebulan sahaja.

Manakala duit bulanan untuk rumah dan kereta beliau dibayar oleh syarikat.