Rakyat Malaysia dan Carian Google seperti dua sahabat yang tidak boleh berpisah dalam memenuhi rasa dahaga dalam mencari jawapan dan maklumat.
Laporan tahunan dalam Carian Google 2024 kini sudah tersedia buat masyarakat umum, dengan kebanyakan rasa ingin tahu yang berlegar dalam diri rakyat Malaysia mengenai berita global, bola sepak, inisiatif kerajaan dan tokoh awam menjadi carian utama.
Mendahului senarai dalam arena bola sepak adalah semasa UEFA Euro 2024 yang menyaksikan Sepanyol meraih kemenangan 2-1 ke atas England, menarik rasa ingin tahu peminat bola sepak tempatan.
Mengikut rapat adalah sumbangan tunai Rahmah, satu inisiatif kerajaan dalam bentuk bantuan tunai yang diberikan kepada rakyat Malaysia daripada golongan miskin, B40 dan M40 mengikut kategori bujang, isi keluarga dan warga emas.
Hab Pangkalan Data Pusat (Padu) yang banyak mencetuskan tanda tanya di kalangan rakyat Malaysia berada di tempat ketiga dalam senarai carian selepas pelancarannya pertengahan tahun ini.
Sukan terus mendominasi carian Google rakyat Malaysia, dengan Piala Asia AFC dan Olimpik 2024 masing-masing memperoleh tempat keempat dan kelima.
Dalam segmen masyarakat, pelakon Ruhainies mendahului senarai itu, sebahagian besarnya disebabkan kontroversinya yang dihebahkan berkenaan dirinya melibatkan aktor Singapura Aliff Aziz.
Kedua-duanya menjadi tajuk utama pada awal tahun berikutan kontroversi yang terjadi di antara mereka dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Rakyat Malaysia tidak hanya mahu bergosip bila mana tokoh kebanggaan negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang juga tersenarai dalam individu yang paling ramai dicari.
Insiden pembatalan Azizul daripada acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 sudah tentu meninggalkan luka mendalam kepadanya sehingga mendapat tempat kedua dalam pencarian tokoh awam.
Selain itu, prestasi pemain badminton Kunlavut Vitidsarn, pemain Thailand yang menewaskan bekas juara dunia Loh Kean Yew di Terbuka Malaysia menjadikan dia berada di kedudukan keempat dalam laporan Carian Google Malaysia.
Akhirnya, Faisal Halim, pemain sayap Selangor FC, menjadi tokoh yang diminati berikutan insiden serangan asid yang mengejutkan seluruh rakyat Malaysia.
Kejadian ngeri yang melibatkan bintang bola sepak negara ini telah meletakkannya sebagai nama kelima yang paling banyak dicari oleh rakyat Malaysia.