Pada hari semalam pihak syarikat pengeluar produk sandwich yang tular mendakwa bahan mentah yang digunakan mereka mempunyai sijil perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Perkara itu telah mendapat perhatian JAKIM dan pihaknya menegaskan sekali lagi bahawa hasil pemeriksaan yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari 2025 lalu mendapati kedua-dua produk ‘Ham and Cheese Sandwich‘, serta syarikat yang menghasilkan produk tersebut tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Baca Juga:

Pihak KPDN mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Oleh kerana ramai pihak syarikat produk makanan, serta premis makanan sering menggunakan alasan ‘bahan mentah ada sijil halal JAKIM’, maka JAKIM kongsikan secara terperinci bagaimana sesuatu produk mendapat sijil halal sebenar secara menyeluruh.

Memetik satu kenyataan rasmi, penggunaan sijil halal daripada pembekal bahan mentah tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.

“Dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia.

“Penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal. Hal ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan,” kata JAKIM.

Sehubungan dengan itu JAKIM menggesa pengusaha-pengusaha di luar sana supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang digunapakai bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berulang lagi pada masa akan datang.

Sumber