Pengalaman mengecewakan yang dilalui oleh seorang penyewa di Malaysia kini telah bertukar menjadi satu titik tolak penting yang turut membuka mata ramai penyewa lain di seluruh negara.
Baru-baru ini, satu hantaran di platform Threads telah tular selepas seorang pengguna berkongsi kejayaannya menuntut semula yuran ejen berjumlah RM1,478, iaitu satu caj yang pada hakikatnya tidak sepatutnya ditanggung oleh beliau.
Berdasarkan hantaran tersebut, penyewa berkenaan telah membayar yuran ejen sekitar RM1,400 pada tahun 2023 ketika menyewa sebuah hartanah di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Pada awalnya, beliau tidak mempersoalkan caj berkenaan.Walau bagaimanapun, selepas mengikuti perbincangan berkaitan isu hartanah di dalam talian, beliau menyedari bahawa penyewa secara kelazimannya tidak perlu membayar yuran ejen melainkan terdapat perjanjian bertulis yang jelas menyatakan sebaliknya.

Kesedaran ini telah mendorong beliau untuk mengambil tindakan proaktif dengan mengemukakan aduan rasmi melalui e-mel kepada Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (BOVEA).
Di dalam aduan berkenaan, beliau menegaskan kedudukannya sebagai penyewa dan bukannya pihak yang melantik ejen tersebut.
Beliau turut menggariskan bahawa tiada sebarang perjanjian bertulis yang menunjukkan persetujuan beliau terhadap yuran berkenaan, namun pihak ejen tetap meneruskan tindakan mengutip caj tersebut.
Selain itu, penyewa terbabit turut meluahkan kebimbangan bahawa amalan sedemikian boleh mengelirukan orang ramai dan berpotensi melanggar keluhuran garis panduan profesional ejen hartanah.

Rentetan daripada aduan tersebut, bukti tangkap layar yang dikongsi memaparkan perbualan antara penyewa dan ejen hartanah berkenaan di mana ejen tersebut didakwa telah meminta penyewa untuk menarik balik aduan yang dibuat dan menawarkan ruang untuk perbincangan.
Meskipun begitu, penyewa tersebut kekal dengan pendirian yang tegas dan memaklumkan bahawa aduan tersebut hanya akan ditarik balik selepas beliau menerima bayaran ganti rugi secara penuh.

Ketegasan ini ternyata membuahkan hasil apabila ejen berkenaan akhirnya akur dan memulangkan jumlah penuh sebanyak RM1,478 kepada penyewa melalui pemindahan wang dalam talian, lengkap dengan resit pembayaran sebagai bukti penyelesaian.
Hantaran tersebut mendapat perhatian meluas di internet, lantas mencetuskan gelombang perkongsian pengalaman serupa dalam kalangan rakyat Malaysia.
Anda juga boleh mengakses laman web rasmi LPEPH yang terkini untuk buat aduan menerusi bis.lpeph.gov.my/e-com.
Menariknya, seorang netizen turut berkongsi format aduan yang boleh disalin semula dan isi mengikut kesesuaian kes masing-masing.
“BUAT ADUAN RASMI KE LPPEH/BOVEA Latest email address: PAMELA MARIE JEROME ANTHONY Registrar [email protected] AHMAD FAIRUZ BIN A LATIF Senior Investigation Officer [email protected]”.
Terdapat dakwaan bahawa segelintir ejen, terutamanya di kawasan sekitar Pulau Pinang dan Johor, mempunyai reputasi mengenakan caj yuran kepada penyewa walaupun prinsip asas menetapkan bahawa yuran perlulah dilunaskan oleh pihak yang melantik ejen, iaitu pemilik hartanah.
Rentetan insiden ini, ramai yang mengakui pernah melunaskan yuran tersebut akibat kekurangan pengetahuan mengenai hak pengguna.
Bagi memperkukuhkan lagi kefahaman umum, seorang pengguna turut memetik garis panduan di bawah peraturan hartanah Malaysia yang dengan jelas menyatakan bahawa ejen hanya dibenarkan mengutip yuran daripada pihak yang melantik mereka dan dilarang sama sekali mengenakan caj kepada berbilang pihak di dalam satu transaksi yang sama.