Dengan konflik yang masih tidak berkesudahan di Gaza, muncul laporan bahawa semakin ramai tentera Israel mula rasa bersalah dan menolak daripada berperang, lapor media AA.

Mereka mendakwa mengalami rasa bersalah terhadap tindakan yang melanggar etika dan kemanusiaan, termasuk pembunuhan warga Palestin.

Gerakan Yesh Gvul, yang menjadi platform bagi tentera Israel yang menolak bertugas di Gaza, kini semakin mendapat perhatian.

Seorang tentera Israel, Yotam Vilk, berkongsi pengalaman menakutkan semasa bertugas di Gaza.

Menurut Vilk, arahan yang diterimanya adalah untuk menembak sesiapa sahaja yang memasuki zon perang tanpa kebenaran.

Namun, salah satu pengalaman yang paling menghantuinya ialah ketika seorang remaja Palestin yang tidak bersenjata ditembak mati oleh rakan setugas.

Seorang lagi bekas tentera yang enggan dikenali mengaku menyaksikan 15 bangunan dibakar tanpa alasan jelas.

“Saya tidak menyalakan api, tetapi saya berjaga di luar rumah. Saya tahu saya telah menjadi sebahagian daripada jenayah perang. Saya sangat menyesal,” katanya dalam pengakuan kepada media.

Pakar terapi trauma, Tuly Flint, menyatakan bahawa ramai tentera Israel kini mengalami masalah jiwa – sejenis trauma psikologi yang terjadi apabila seseorang terpaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau nilai peribadi mereka.

“Ini menyebabkan mereka tidak dapat tidur, kerap dihantui dengan pengalaman perang yang buruk, dan merasa diri tidak berharga,” kata Flint, yang telah merawat ratusan tentera sejak perang bermula.

Gerakan Yesh Gvul kini menjadi suara bagi lebih 80 tentera Israel yang secara terbuka menolak bertugas di Gaza.

Menurut jurucakapnya, Ishai Menuchin, terdapat ratusan lagi yang memiliki pendirian sama tetapi enggan bersuara kerana takutkan ancaman dan stigma.

Sehingga Januari 2025, jumlah penduduk Gaza yang terbunuh akibat serangan Israel telah mencecah lebih 46,000 orang.

Mahkamah Kriminal Antarabangsa (ICC) kini sedang menyiasat kemungkinan jenayah perang, termasuk cubaan menangkap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant.