Bagi anda yang selalu pening kepala mencari mesin ATM yang sama dengan kad bank semata-mata nak elak caj RM1, ini ada berita paling gembira untuk anda.
Bermula 1 Julai 2026, semua bank di Malaysia akan memansuhkan sepenuhnya caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin ATM dan *Smart Recycler Machine* (SRM). Selepas ini, tiada lagi istilah ‘rugi RM1’ kalau anda terpaksa guna ATM bank lain!
Akses Lebih 14,000 Mesin ATM Tanpa Had
Keputusan besar ini diumumkan melalui satu kenyataan bersama oleh tiga persatuan perbankan utama negara iaitu Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).
Inisiatif ini dijayakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), sekaligus membolehkan pemegang kad debit mengakses lebih 14,000 mesin ATM dan SRM di seluruh negara tanpa mengira bank pengeluar kad anda. Yang paling best, pengeluaran percuma ini adalah tanpa had!
“Langkah ini mencerminkan komitmen industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, inklusif, dan mampu milik kepada semua pelanggan,” jelas wakil industri perbankan dalam satu kenyataan.
Industri Faham ‘Cash’ Masih Penting Untuk Rakyat
Walaupun negara sedang rancak ke arah digitalisasi, pihak bank mengakui bahawa wang tunai masih lagi menjadi keperluan utama bagi sebahagian besar rakyat Malaysia dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka.
Dengan pemansuhan caj RM1 ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan harian rakyat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan yang mempunyai akses terhad kepada bank-bank tertentu.
“Kami mengakui bahawa penggunaan tunai masih menjadi kaedah pembayaran penting dalam kalangan rakyat Malaysia bagi mengurus kehidupan harian.
Sehubungan itu, pemansuhan caj ini dilihat dapat mengurangkan beban kewangan harian rakyat serta meningkatkan kemudahan akses kepada perkhidmatan perbankan,” tambah mereka lagi.
Bebas Pilih: Tunai Atau Digital?
Bagaimanapun, dalam masa yang sama, sektor perbankan tetap terus menggalakkan orang ramai untuk menggunakan sistem pembayaran digital dan tanpa tunai (cashless) yang semakin berkembang dan selamat.
Pihak bank memberi jaminan bahawa mereka akan terus memperkukuh dan mempromosikan solusi pembayaran tanpa tunai sebagai alternatif transaksi harian yang lebih lancar.
Apapun, matlamat utama inisiatif ini adalah untuk memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pelanggan untuk memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan gaya hidup mereka, di samping meningkatkan pengalaman perbankan yang lebih baik buat seluruh rakyat Malaysia.
Jadi, selepas 1 Julai ini, anda dah tak perlu jalan jauh mencari ATM bank sendiri. Singgah sahaja di mana-mana ATM terdekat, keluar duit, dan semuanya PERCUMA.