Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mendedahkan bahawa ekonomi Malaysia telah merana akibat daripada gejala rasuah yang merebak.

Memetik laporan The Star, beliau menyatakan bahawa negara telah mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM277 bilion dalam tempoh lima tahun lepas akibat dari amalan rasuah yang meluas.

Baca Juga:

Menurut beliau, jumlah itu merupakan anggaran kumulatif keluaran dalam negara kasar (KDNK) dari tahun 2018 hingga 2023.

RM277 bilion yang hilang itu, menurut Azam, sebenarnya merupakan sumber yang dapat membantu memajukan negara, terutamanya dalam melaksanakan projek-projek sosial yang penting seperti pembaikan sekolah dan hospital.

Beliau menjelaskan perihal ini semasa ucapannya dalam majlis pelancaran Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semasa ucapan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hari Selasa yang lalu, beliau menegaskan bahawa langkah-langkah tegas perlu diambil untuk menangani wabak rasuah ini.

“Usaha untuk memerangi rasuah memerlukan pendekatan yang sistematik dan kaedah yang berkesan untuk mengenal pasti sektor-sektor yang terdedah kepada amalan rasuah,” ujarnya.