Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal berpendapat Razlan Jofri Ali merupakan pengadil ‘terbaik’ di Malaysia selepas perlawanan Liga Super 2024/2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.

Penang tunduk dengan keputusan 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan kemenangan ini membolehkan JDT mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dalam carta liga.

Dalam temu bual selepas perlawanan, Akmal Rizal bagaikan meluahkan apa yang terbuku di hati beliau mengenai prestasi yang ditampilkan oleh Razlan Jofri Ali sebagai pengadil.

Akmal Rizal
Razlan Jofri Ali

“Saya rasa saya tak boleh komen kerana Razlan adalah pengadil terbaik di Malaysia yang ada. Saya rasa tepat keputusan dia. Semua yang tengok boleh nilai sendiri.

“Saya akan sediakan pasukan yang lebih baik pada perlawanan yang akan datang,” katanya.

Meskipun menggunakan nada yang positif, namun ramai yang percaya itu merupakan bentuk kritikan secara halus yang dilontarkan oleh Akmal kepada Razlan.

Dalam perlawanan semalam, penyerang import yang baru dibawa masuk iaitu Jorge Obregon menjaringkan dua gol manakala Oscar Arribas, Bergson dan Arif Aiman masing-masing menjaringkan satu gol sekaligus membantu JDT mencatat kemenangan 5-0.

JDT kekal berada di tangga teratas dalam carta Liga Super dimana mereka berada enam mata di hadapan pasukan Selangor di tangga kedua.

Selepas ini, JDT akan terbang ke China dimana mereka akan menghadapi Shanghai Port dalam saingan AFC Champions League (ACL) Elite pada 18 September ini.