Kelab gergasi dunia, Real Madrid begitu sinonim dengan Santiago Bernabeu yang menjadi gelanggang keramat buat pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 15 kali itu.
Menurut sumber laporan Marca, selepas hampir 70 tahun, Los Blancos buat pertama kalinya akan menukar nama stadium tersebut daripada Santiago Bernabeu kepada The Bernabeu.
Baca Juga:
- Ini Sebab Real Madrid ‘Upgrade’ Santiago Bernabeu
- Tonton Pelan Renovasi Terbaru Stadium Santiago Bernabéu
- Real Madrid Lelong Loker Yang Pernah Digunakan Ronaldo, Zidane, Figo, Beckham Dengan ‘Tapak’ RM56.5 Ribu Sahaja
Laporan tersebut menambah keputusan yang dibuat oleh pengurusan tertinggi Real Madrid itu adalah atas faktor nilai komersial dan pemasaran.
Tinjauan di laman sesawang rasmi stadium juga hanya menggunakan nama Bernabeu, begitu juga dengan profil rasmi di media sosial pasukan.
Lawatan stadium dipanggil Tour Bernabéu dan bahkan hadiah yang diberikan oleh kelab pada perjumpaan Krismas mereka, sebuah model stadium, dinamakan tanpa nama Don Santiago.
Nama Santiago Bernabeu mula digunakan oleh pasukan saingan La Liga itu pada 4 Januari 1955 sebagai tanda penghormatan buat bekas presiden kelab yang turut pernah bergelar pemain dan pengurus Real Madrid.
Dengan sejarah hebat dilakarkan Real Madrid, Santiago Bernabeu telah menjadi salah satu stadium terkenal di dunia, seiring dengan pencapaian memukau pasukan.
Santiago Bernabeu de Yeste adalah Presiden Madrid selama hampir 35 tahun bermula 11 September 1943 hingga 2 Jun 1978 yang merupakan tarikh kematiannya.
Sepanjang tempoh itu Real Madrid telah memenangi enam Piala Eropah, 16 gelaran liga, enam Piala Sepanyol, dan banyak lagi trofi.
Dalam pada itu, beliau juga dilaporkan membantu Manchester United membina semula pasukannya selepas bencana udara Munich pada tahun 1958.