Pelakon dan usahawan Datin Rebecca Nur Al Islam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dia pernah meminjam RM1.5 juta daripada kakak iparnya, usahawan terkenal Rozita Ibrahim atau Bonda Rozita.
Rebecca menyifatkan tuduhan tersebut sebagai fitnah yang memalukan dan mencemarkan nama baiknya.
Rebecca Nur Al Islam jelaskan perkara sebenar
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial Threads pada Isnin, Rebecca, 39, bersumpah demi nama arwah ayah dan ibunya bahawa beliau tidak pernah berhutang atau mengetahui tentang wang sebanyak RM1.5 juta yang diperkatakan.

“Sumpah demi nama arwah ayah dan demi nama ibu saya. Saya tak pernah berhutang atau pinjam atau tahu-menahu mengenai RM1.5 juta yang diperkatakan. Demi Allah dan Rasulullah saya bersumpah!” – kata Rebecca seperti dilaporkan mStar.
Rebecca menegaskan bahawa tidak pernah menerima walau satu sen pun daripada Bonda Rozita dan menyatakan bahawa dakwaan tersebut mungkin sekadar konten yang dibuat oleh pihak tertentu untuk memalukan dirinya ketika isu sedang hangat diperkatakan.
“Isterinya berjanji akan bersihkan nama saya serta keluarga mengenai konten fitnah. Pada saya, ini bukan main-main. Ini adalah fitnah besar yang saya serta keluarga kena.
“Demi Allah #1.5 juta yang anda semua fikir dan sedang diperkatakan itu hanyalah sekadar konten geram daripada pihak sana untuk memalukan saya ketika isu sedang panas,” jelas Rebecca.
Harap isu selesai
Rebecca turut memaklumkan bahawa dia telah memberitahu perkara tersebut kepada abangnya dan berharap agar Rozita dapat membersihkan kembali namanya.
Rebecca Nur Al Islam percaya bahawa dakwaan yang timbul merupakan satu serangan balas akibat ketidakpuasan hati terhadap hantaran yang melibatkan keluarga kakak iparnya itu.
Rebecca juga mengakui kesilapannya memuat naik video penjelasan bagi menjawab tuduhan kononnya dia menumpang populariti perkahwinan abangnya dengan Bonda Rozita, dan mengakui kata-kata yang digunakan dalam video berkenaan agak keterlaluan.
Isu ini timbul selepas Rebecca Nur Al Islam didakwa berbalah dengan isteri Datuk Seri Aliff Syukri, Datin Seri Shahida, dan anak Rozita, Maryam Nur Imani, di media sosial.
Rebecca berharap agar kakak iparnya dapat membantu membersihkan nama baiknya dan keluarga daripada fitnah tersebut.
“Silap saya hanya hari itu apabila saya di-trigger dengan video pihak sana. Lalu saya memuat naik video balas dengan menjawab balik hujah yang mengatakan saya mencari publisiti murahan.
“Saya tahu saya salah sebab memarahi pihak sana dengan kata-kata yang saya gunakan,” tambahnya lagi.