REDtone Digital Bhd dan SpaceX memeterai perjanjian penjualan semula bagi menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi yang dihubungkan menerusi satelit Starlink di seluruh Malaysia.

Dalam satu kenyataan terkini, REDtone, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan infrastruktur digital bersepadu itu berkata dengan pasukannya yang mempunyai lebih 150 jurutera di seluruh negara, syarikat itu mampu membekalkan perkhidmatan jalur lebar Starlink dengan pantas kepada pengguna di lokasi terpencil serta kawasan yang mempunyai kekangan dari segi geografi dan alam sekitar.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Ketua Pegawai Eksekutif REDtone Lau Bik Soon berkata, kekuatan syarikat itu sebagai penyedia penyelesaian rangkaian bersepadu akan membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan berasaskan satelit yang lancar kepada pelanggan kerajaan dan perusahaan.

“Kami menyasarkan sektor yang menunjukkan peningkatan kebergantungan terhadap perkhidmatan satelit seperti minyak dan gas, telekomunikasi, perkapalan dan maritim, perkhidmatan kewangan dan perladangan.

“Sektor-sektor ini dijangka menjadi pemacu penting pertumbuhan pasaran satelit di negara ini dan akan meningkatkan keuntungan syarikat,” katanya.

Lau berkata, REDtone mengorak langkah ke hadapan dalam merealisasikan visi kerajaan untuk mencapai 100% capaian internet di kawasan berpenduduk.

Katanya, kira-kira 3% daripada penduduk negara ini menetap di kawasan yang kurang mempunyai liputan atau tiada sambungan rangkaian internet.

Jadi, pihak REDTone berharap dengan usaha ini dapat merapatkan jurang jalur lebar itu menerusi satelit. Ini bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi, menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan serta meningkatkan keselamatan awam.

Malah, dimaklumkan bahawa pasaran satelit dianggarkan bernilai RM19.7 bilion menjelang 2025, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 10.9%.

Dalam pada itu, REDtone berkata sedang mengorak langkah ke hadapan dalam merelisasikan visi kerajaan untuk mencapai 100 peratus capaian internet di kawasan berpenduduk.

Setakat September 2023, Starlink telah menghubungkan lebih dua juta pelanggan aktif di lebih 60 negara. Pasti ramai yang tidak sabar mahu menikmati internet berkelajuan tinggi menerusi satelit Starlink yang lebih stabil dan meluas selepas ditawarkan secara komersial kelak.