Jenama Tesla kepunyaan Tesla tidak pernah mengecewakan para peminat automotif. Sebelum ini jenama ini berjaya menghasilkan kereta elektrik dengan kelajuan tertinggi yang pernah dihasilkan dan kini Tesla berjaya membuktikan jenama ini turut mampu untuk menyediakan rekaan yang minimalis serta kereta harga mampu milik.
Melalui pelancaran baru-baru ini, Elon Musk secara rasminya telah memperkenalkan model yang dinanti nantikan ramai iaitu Tesla Model 3. Antara yang menarik perhatian ramai adalah rekaan dalamannya yang hadir konsep minimalis serta moden.
Untuk pengetahuan anda pengeluaran awal Tesla Model 3 bakal dikeluarkan secara berperingkat. Setakat ini cuma 30 pelanggan bertuah yang membuat bayaran awal buat Tesla Model 3 bakal menerima model yang ditempah. Dalam pada itu Tesla komited untuk menghasilkan sebanyak 5,000 buah Model 3 dalam masa seminggu dan bakal meningkat ke 10,000 unit menjelang 2018.
Tidak seperti Tesla Model X dan Model S, model terbaru daripada Tesla ini ternyata hadir dengan tanda harga yang sangat berbeza berbanding dua model awalnya. Tesla Model 3 bakal mula ditawarkan dengan harga $35,000 (~RM149,901.50) sekaligus berjaya menjadi model kereta mampu milik buat warga Amerika Syarikat.
Melihatkan kepada harga Tesla Model 3 serta jenamanya yang sudahpun mempunyai pemilik di Malaysia melalui model sebelumnya, tidak mustahil Tesla Model 3 bakal mengikuti jejak langkah yang sama serta mula menghiasa jalanraya sekitar Malaysia tidak lama lagi.