ohor Darul Ta’zim FC terus melakar sejarah apabila mencipta rekod dunia baharu dengan mencatatkan 109 perlawanan liga berturut turut tanpa kekalahan.

Rekod luar biasa itu tercipta selepas JDT menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam aksi Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus mengatasi rekod 108 perlawanan milik kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang dicatatkan antara 1989 hingga 1994.

Rentetan tanpa kalah JDT bermula sejak April 2021. Sepanjang tempoh tersebut, Harimau Selatan turut berjaya menamatkan empat musim Liga Super berturut turut tanpa kekalahan.

Lebih manis, kemenangan ke atas Kuching City turut membolehkan JDT mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah serta memulakan kempen Liga Super 2026/27 dengan tiga mata.

Kejayaan JDT itu menjadi sorotan media antarabangsa terkemukan termasuk B/R Football yang memiliki lebih 7 juta pengikut di X sahaja. Ianya antara media bola sepak yang sangat berpengaruh di platform media sosial.

https://x.com/brfootball/status/2090830114846064730

Wartawan terkemuka seperti Rudy Galetti dan Ben Jacobs dari CBS yang juga antara figura terkenal di kalangan peminat bola sepak.

AFP turut membuat liputan tentang kejayaan tak masuk akal dicipta JDT itu.

Kejayaan ini ibarat serampang dua mata buat JDT. Dari sudut kesukanan ianya adalah kejayaan memenangi Piala Sumbangsih dan mendapatkan 3 mata liga.

Dari sudut publisiti, ianya memberikan publisiti kepada JDT dan liga Malaysia secara amnya.

Match Of The Day menganggap kejayaan ini sebagai satu sejarah yang kita semua tidak pernah saksikan sebelum ini. Dan JDT melakukannya.

Dalam perlawanan menentang Kuching City semalam, JDT membuka jaringan menerusi Marcos Guilherme pada minit ke-11 selepas menyudahkan hantaran Bergson da Silva.

Kuching City cuba memberikan tentangan pada babak kedua, namun JDT terus mengawal permainan. Oscar Arribas kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-55 menerusi rembatan kencang sebelum Shahab Zahedi melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-86 selepas menyambar bola muntah.

Kemenangan itu menjadi langkah penting JDT dalam usaha mereka untuk meneruskan dominasi di dalam aksi Liga Super musim ini dengan sasaran mempertahankan kejuaraan buat kali ke-13.