Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ membawa padah apabila ditahan polis di Plaza Tol Jabor, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT)  1, dekat sini, semalam.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata,  remaja lelaki yang menunggang Honda EX5 itu melakukan aksi Superman dengan ‘baring’ di atas motosikal sebelum ditahan pada pukul 10.30 pagi.

Menurutnya, penunggang tersebut juga melakukan aksi zig-zag dari lorong kanan jalan dan lorong kiri jalan secara berulang-kali sejauh dua kilometer dari kilometer 248 hingga kilometer 250 di lebuh raya tersebut.

“Anggota polis mengarahkan suspek supaya berhenti, namun remaja itu terus memecut laju menghala ke Plaza Tol Jabor,” katanya ketika dihubungi.

Hanyan berkata, anggota polis mengekori suspek ke Plaza Tol Jabor,  namun suspek kemudiannya bertindak membuat pusingan U dengan melawan arus ke Kuantan,  Pahang sebelum sekali lagi membuat pusingan U menghala ke Plaza Tol Jabor.

“Bagaimanapun, malang tidak berbau apabila suspek telah terbabas sendiri kira-kira 50 meter dari plaza tol tersebut menyebabkan dia luka didagu,” katanya.

Hanyan berkata, suspek yang berasal dari Jengka, Pahang itu kemudiannya berjaya ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Hasil ujian urin mendapati suspek negatif dadah.

Baca tiga artikel top yang menjadi pilihan pembaca The Vocket sepanjang minggu lalu melalui pautan di bawah.

Dirempuh Semasa Mahu Membelok, Peniaga Bingung Kena Saman Walaupun Van Polis Yang Langgar Belakangnya

Anggap Sebagai Rezeki Anak-Anak, Pemilik Baharu Tidak Menyesal ‘Swap’ Tanahnya Dengan RX-Z

11 Tahun ‘Ketagih’ Makan Sabun Serbuk, Pendedahan Wanita Ini Buat Netizen Terkejut