Baru-baru ini tular satu klip video menunjukkan seorang ulama dari Pattani, Thailand merenjis air Ruqyah pada sebuah kereta MPV.

Video itu menerima tanggapan buruk netizen kerana menganggapnya khurafat dan tidak dilakukan Nabi Muhammad SAW serta sahabat.

Baca Juga:

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberi penjelasan perkara itu. Menurut jabatan agama itu, hukum merenjis atau membilas kenderaan dengan air dibaca ruqyah mengandungi ayat Al-Quran dan zikir adalah dibenarkan dan diharuskan dalam syarak, petik Harian Metro.

“Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar menjaga diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diingini seperti kecurian, kemalangan dan penyakit Ain.

“Berkaitan penyakit al-Ain, Nabi SAW pernah menyebut bahawa penyakit ini sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit itu, maka hendaklah dia mandi,” katanya dalam satu petikan.

Nabi SAW bersabda: “Penyakit al-Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar makan ‘ain yang dapat menjangkauinya. Jika diminta kepada kamu untuk mandi (sebagai penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi.” (HR Muslim).

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa sebahagian ulama menyebutkan penyakit Ain juga menimpa kepada haiwan dan benda-benda tidak bernyawa seperti pokok, batu, kereta dan seumpamanya.

“Terdapat pelbagai cara untuk melindungi diri daripada penyakit Ain seperti membaca ruqyah dan doa,” katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa memandikan atau membilas dengan air adalah satu ikhtiar lain untuk melindungi diri daripada penyakit Ain.

“Ia berdasarkan sabda Nabi SAW ‘jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi’.

“Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya,” katanya.

Tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan yang dibaca zikir dan doa ruqyah bukan satu perkara khurafat.

Sumber