Hasil risikan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui agensinya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Air Selangor, akhirnya membongkar kegiatan yang merugikan jutaan ringgit setahun kepada operator air negeri tersebut.
Terdapat sebuah resort di tengah-tengah kawasan sawah padi di Sekinchan didapati membuat sambungan paip air haram.
Baca Juga:
- Bawa Air Ketum Ke Singapura, Lelaki Tempatan Berdepan Lima Sebatan Dan Penjara

- Kerajaan Terengganu Tanggung Subsidi Air Pengguna Domestik Mulai November Ini

- Tunggakan Bil Elektrik Air Kelantan Sdn Bhd RM61 Juta

Sekaligus premis tersebut menikmati caj penggunaan air yang sangat rendah sejak bermulanya operasi mereka sejak setahun lalu.
Memetik laporan Sinar Harian lagi, terdapat dua buah lokasi melakukan kegiatan yang sama iaitu sebuah kolam memancing di Desa Kemuning, Shah Alam. Sambungan haram itu untuk penggunaan menukar air kolam dan mencuci kawasan.
Sementara satu lagi di depoh logistik di Klang, di mana air curi digunakan untuk mencuci lori dan jengkaut.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik SPAN, Ts Mohd Fazil Ismail, operasi tersebut diselaraskan selepas laporan diterima daripada Air Selangor.
“Risikan bermula daripada aduan pengguna dan operator tentang tekanan air yang menurun mendadak. Hasil siasatan menunjukkan ada sambungan mencurigakan di tiga premis itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.
Pasukan teknikal Air Selangor menggunakan sistem digital untuk mengesan corak aliran air yang tidak konsisten.
“Bila kita dapati bacaan meter terlalu rendah berbanding penggunaan sebenar, kita tahu ada sesuatu yang tak kena,” jelasnya.
Kemudian, pasukan penguat kuasa SPAN memperoleh waran dan menjalankan serbuan bersama anggota Air Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar kehilangan air di kawasan berkenaan.
Mohd Fazil menjelaskan kerajaan melalui PETRA dan SPAN kini memperketat undang-undang bagi membendung kecurian air.
Selain menaikkan kadar denda, pihaknya juga bekerjasama dengan operator negeri untuk menambah baik pemantauan digital dan sistem amaran tekanan air di seluruh Semenanjung.
“Kita mahu setiap liter air yang dirawat sampai kepada pengguna sah dan berdaftar,” tegasnya.