Sejak beberapa hari lalu nama adik Mohd Aariz menjadi bualan orang ramai apabila tular gambarnya menaiki motosikal bersama ahli keluarganya.
Kanak-kanak itu terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) kerana menghidap penyakit paru-paru kronik.
Terbaharu, bapa kepada kanak-kanak berusia 11 bulan itu, Mohd Azlan Ishak memberitahu bahawa ada pemilik perniagaan kereta terpakai menghadiahkan mereka sebuah Proton Persona.
“Alhamdulillah, rezeki anak saya terus melimpah sehinggakan ada yang sanggup menghadiahkan kereta terpakai untuk kami, semalam, ” kata Mohd Azlan Ishak, 35.
Memetik Harian Metro, pada mulanya dia dan isteri, Norhidayu Halim, 35, singgah di kedai kereta terpakai itu kelmarin untuk membeli kereta menggunakan hasil wang sumbangan yang diterima daripada orang ramai untuk kemudahan membawa Mohd Aariz ke hospital.
“Saya memang berkenan kereta Proton Persona hijau di kedai itu dan hanya membawa wang tunai RM3,000 untuk membeli kereta di situ
“Apabila ditanya kepada pengusaha kedai kereta itu, dia tanya sama ada saya minat dengan Proton Persona itu. Saya kata memang minat dan saya terkejut apabila dia menghadiahkan kereta itu demi Mohd Aariz,” katanya.
Difahamkan kedai kereta terpakai itu menguruskan segala proses dokumen kereta Proton Persona tersebut.
“Saya tak pernah minta sesiapa sebelum ini walaupun pernah ada RM12 dalam tangan hinggakan ada juga yang mengecam saya dan isteri namun saya tak ambil kisah sangat.
“Kalau tidak kerana ada yang tular gambar kami tiga beranak di media sosial baru-baru ini mungkin agak susah kami untuk menguruskan kehidupan memandangkan saya baru sembuh daripada demam campak dan tidak boleh bekerja,” katanya.
Pada masa sama Azlan menyatakan rumahnya di Taman Kota Nelayan juga kini ‘penuh’ dikunjungi orang ramai temasuk influencer media sosial, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang datang membantu.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memberi sumbangan demi untuk anak saya, Mohd Aariz yang menghidap paru-paru kronik,” kata Azlan kepada Harian Metro.