Sebut mengenai RichWorks International Sdn. Bhd. pastinya ramai yang cukup mengenalinya khususnya para usahawan tempatan.

Berjaya membantu para usahawan tempatan meraih jualan sehingga 8 angka membuatkan syarikat ini kekal popular serta menjadi pilihan para usahawan untuk mempelajari selok-belok perniagaan.

Terbaharu, RichWorks International Sdn. Bhd. selaku peneraju dalam memperkasakan keusahawanan mengumumkan hasrat untuk melahirkan dan memupuk ‘100 Gladiators’ ahli TITANIUM yang mencerminkan kecemerlangan keusahawanan dengan pendapatan jualan tahunan yang melebihi RM 10 juta bagi tahun 2024.

Meskipun terdapat liku-liku rintangan yang berbentuk krisis poli-global dan kenaikan kos dalam perniagaan terutamanya dari aspek bahan mentah serta kepelbagaian faktor yang lain, RichWorks bertekad untuk membimbing mencapai kejayaan.

Selain itu, pihak RichWorks turut melancarkan buku ‘The Titan Gladiators: Perjalanan 65 Usahawan Biasa Capai Jualan Lebih RM10 Juta Setahun’ yang telah dilancarkan secara rasmi sempena Wiraland Award, Inner Circle Meeting (ICM) untuk ahli Titanium RichWorks di PARKROYAL Langkawi Resort pada 4 Mac lalu.

Buku ini mengisahkan perjalanan inspirasi 65 usahawan berjaya yang telah berkecimpung dalam dunia perniagaan yang mewakili sebanyak 51 jenis perniagaan dalam pelbagai sektor.

Buku ini juga berlatar belakangkan cabaran, kejayaan, dan langkah strategik yang mendorong individu ini daripada peringkat perniagaan awal hingga melepasi RM10 juta dalam jualan tahunan mereka.

Selain menjadi medan pelancaran buku, Wiraland Award juga mengiktiraf sejumlah 151 perniagaan dalam 16 kategori atas pencapaian dan peningkatan jualan perniagaan mereka antara RM10 juta hingga RM500 juta pada tahun 2023.

Tahun 2023 terus menjadi bukti kecekalan dan kejayaan RichWorks kerana 65 ahli Titanium Gladiators ini berjaya mencecah jualan tahunan terkumpul melebihi RM2 bilion.

Turut mencapai kejayaan dari segi jualan mahupun kepimpinan dan dalam membentuk pasukan kakitangan adalah 541 perniagaan di bawah bimbingan pementoran RichWorks.

“Sumbangan tahunan kami kepada KDNK negara menandakan dedikasi RichWorks kepada kedua-dua pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara, sejajar dengan agenda kerajaan untuk memupuk keusahawanan dan memacu pembangunan ekonomi,” kongsi Datuk Wira Dr. Azizan Osman, Mentor, Pengasas dan Pengerusi RichWorks.

“Dengan memperkasakan individu yang berketerampilan dan membangun minda berwawasan, kami secara aktif mendukung inisiatif yang bertujuan untuk memupuk ekosistem keusahawanan yang teguh.

Berikutnya, inisiatif ini mampu mempamerkan keusahawanan sebagai platform dinamik yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara secara menyeluruh,” tambah beliau.

Untuk pengetahuan, sejak RichWorks ditubuhkan, syarikat ini telah berjaya membantu lebih daripada 1.5 juta usahawan dan meninggalkan impak pada lebih daripada 700,000 peserta yang terlibat melalui program secara langsung (live event).

Organisasi ini beralih dengan lancar kepada platform maya semasa pandemik COVID-19 dan membimbing seramai 800,000 peserta melalui program keusahawanan. Antara inisiatif yang kerap dijalankan adalah seperti program Millionaire Marketing Mastery yang memberi tumpuan kepada strategi pemasaran zero kos atau berbayar.

RichWorks menetapkan matlamat mereka untuk melihat 100 perniagaan mencapai jualan tahunan melebihi RM10 juta pada tahun 2024.

Program-program ini bertujuan untuk memperkasakan usahawan sedia ada dan baharu bagi membuktikan bahawa impian dan hasrat mereka boleh berubah menjadi kenyataan melalui bimbingan dan pengetahuan asas yang kukuh.

Dalam masa sama, RichWorks turut melancarkan sesi eksklusif, Business Coaching: Your 1st Million or 10 Million di Kota Bharu, Kelantan pada 24 April dan Shah Alam, Selangor pada 1 Mei akan datang.

Sesi bimbingan ini ditaja sepenuhnya bagi usahawan terutama pemilik bisnes yang ingin mencapai jualan RM1 juta atau lebih RM10 juta pada tahun ini. Bagi mereka yang berminat boleh mohon melalui laman rasmi RichWorks.