Penularan wabak COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan langsung kepada banyak pihak terutama sekali terhadap golongan yang kurang berkemampuan.
Seperti perkongsian yang tular baru-baru ini di media sosial mengenai seorang gadis yang merupakan penghantar makanan dari FoodPanda berjalan kaki sejauh 2 kilometer untuk mengambil serta menghantar pesanan makanan kepada pelanggannya.
Gadis yang hanya dikenali sebagai Lin dan berusia 22 tahun itu difahamkan tidak mempunyai apa-apa jenis kenderaan jadi beliau telah mula bekerja menjadi salah seorang penghantar makanan FoodPanda bagi menjana pendapatan.
“Solihah jumpa dia dalam keadaan baju dia basah kuyup, nampak air mata dia macam menangis. Dalam keadaan macam tu tak sampai hati nak tinggalkan dia sorang-sorang. Perempuan pula tu dengan hujan jadi kami tumpangkan adik Lin naik sekali walaupun pada mulanya dia agak segan, selepas itu terus bawak dia ke rumah pelanggannya.
“Berkali-kali adik Lin minta maaf kerana takut menyusahkan kami, takut basahkan kusyen kereta sebab baju dia basah. Ya Allah dik sesungguhnya malam ni Allah memang hendak takdirkan kami bertemu dengan adik Lin sebagai pengajaran utk kami,” kongsi Solihah menerusi laman Facebook.
Lebih menyayat hati apabila gadis tersebut berkongsi aktiviti harian beliau yang bermula pada jam 11 pagi di mana beliau akan mula berjalan kaki dari Taman Seluang hingga ke pasaraya Giant. Selepas daripada itu, beliau akan ke rumah-rumah pelanggan bagi melengkapkan pesanan hingga jam lapan malam.
Sebelum pulang, beliau biasanya akan ke bank bagi memasukkan duit yang beliau peroleh untuk hari tersebut.
Telah dihadiahkan basikal
Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian ramai pihak serta rata-rata daripada mereka turut membantu dengan memberi sumbangan dalam membantu gadis tersebut.
Dalam satu perkongsian, kutipan dana telah dilakukan oleh beberapa penghantar makanan FoodPanda bagi daerah Kulim untuk membantu membeli sebuah basikal dan dihadiahkan kepada gadis tersebut.
“Hadiah basikal tersebut merupakan hasil dari kutipan dana dari semua insan yang berhati mulia berkongsi rezeki dengan adik Lin.
“Semoga dengan setiap kayuhan adik Lin mencari rezeki, anda sekeluarga mendapat berkat pahala yg berlipat kali ganda nilainya, Amin,” kata Bella.
Baca perkongsian kami yang terdahulu mengenai seorang penghantar makanan foodpanda yang dahulunya raih gaji enam angka tetapi terpaksa tukar kerjaya bagi teruskan hidup melalui pautan di bawah.
‘Rider’ Foodpanda Buat Pelanggan Terkejut Hantar Makanan Guna Harley Davidson
Pernah Bekerja Sebagai Penulis Dan Miliki Kereta Kancil, Ebit Lew Kongsi Kisah ‘Aunty Foodpanda’