Pekerja penghantaran makanan, atau lebih dikenali sebagai rider, bukan sahaja perlu mengejar masa untuk menghantar pesanan, tetapi mereka juga perlu berdepan dengan pelbagai risiko keselamatan yang mengancam nyawa sehingga ada yang sanggup bawa senjata.
Menurut mStar, seorang individu yang dikenali sebagai Angah tular di TikTok selepas memuat naik video pesanan kepada komuniti rider, terutamanya mereka yang bekerja pada waktu malam.
Dalam video tersebut yang mendapat hampir 300,000 tontonan, Angah berkongsi beberapa tip penting untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.
Angah menasihat agar rider tidak membawa wang tunai dalam jumlah yang besar ketika bekerja pada waktu malam dan sentiasa jaga barang berharga dengan sebaik mungkin.
Dia juga menyarankan agar wang tunai yang dibawa dihadkan kepada jumlah minimum yang diperlukan, contohnya RM20 untuk minyak dan rokok, manakala selebihnya disimpan di dalam bank.
Ini bertujuan untuk mengurangkan kerugian jika berlaku sebarang insiden samun.
Selain itu, Angah turut mengingatkan rakan-rakan rider agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekitar, terutamanya pada waktu malam.
Dia memberi amaran bahawa penjenayah sering menggunakan pelbagai taktik licik untuk memperdaya mangsa.
Salah satu taktik yang disebut ialah berpura-pura menunda motosikal di kawasan gelap sebagai helah untuk menyamun.
“Kadang-kadang ia mungkin taktik orang untuk samun. Dia banyak cara. Selamat kejar order, kejarlah order sampai lebam,” tambah Angah dengan nada yang tegas namun prihatin.
Video Angah tersebut mendapat pelbagai reaksi dari kalangan pekerja penghantaran.
Ada yang berkongsi tip tambahan, ada juga yang memohon perlindungan dari Tuhan ketika bertugas.
Seorang rider mengaku dia hanya membawa salinan MyKad ketika bekerja bagi mengelakkan risiko kehilangan dokumen penting sekiranya disamun.
Seorang lagi rider mengaku sentiasa membawa senjata untuk perlindungan diri ketika bekerja pada waktu malam.
“Saya standby senjata kat motor, untuk keselamatan. Sebab aku jenis suka ‘cedok’ sampai lewat pagi.” tulisnya di ruangan komen.
Antara tip lain yang turut dikongsi adalah memastikan minyak motosikal sentiasa diisi penuh untuk mengelakkan situasi kecemasan.
“Satu lagi, minyak motor jangan bagi low. Amalkan isi sampai penuh,” nasihat seorang rider.