Pengasas jenama tempatan terkemuka, HYGR, hari ini tampil mengeluarkan satu kenyataan penjelasan rasmi bagi memperbetulkan salah faham berikutan sebuah hantaran tular di aplikasi Threads yang menyentuh mengenai lawatan beliau ke RIMBA Jungle Boardwalk di KLIA 1.

Penjelasan tersebut dibuat berikutan penyebaran sebuah klip video pendek yang telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, seolah-olah beliau mengkritik produk pelancongan negara atau memandang rendah keupayaan Malaysia di peringkat global.

Penafian Terhadap Suntingan Video yang Mengelirukan

Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan dalam bentuk dwibahasa, beliau menegaskan bahawa video yang sedang disebarkan tersebut telah disunting secara selektif.

Tindakan memotong beberapa bahagian penting dalam perbualan asal telah mewujudkan satu naratif salah yang tidak menggambarkan pandangan sebenar beliau.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa oleh penulis hantaran tersebut. Saya juga tidak pernah menyatakan atau memberi gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang lemah, ketinggalan, atau tidak mampu menghasilkan pengalaman bertaraf dunia.”

Beliau turut menzahirkan permohonan maaf sekiranya video tersunting itu telah menimbulkan sebarang implikasi atau tanggapan salah yang tidak pernah diniatkan oleh beliau sama sekali.

Fokus Kepada Maklum Balas Pelanggan Secara Membina

Menjelaskan senario sebenar, beliau memaklumkan bahawa hasrat asalnya adalah sekadar untuk membincangkan aspek pengalaman pelanggan (customer experience) serta mengutarakan ruang penambahbaikan bagi tujuan pembangunan industri.

Tiada sebarang niat untuk memperlekehkan imej negara mahupun mana-mana entiti perniagaan tempatan.

“Sebagai usahawan Malaysia, saya sentiasa berbangga menyokong serta membangunkan jenama tempatan, dan percaya bahawa maklum balas yang membina adalah penting untuk membantu industri kita terus berkembang dan menjadi lebih baik.”

Beliau turut menyeru orang ramai agar merujuk kepada konteks perbualan penuh yang tidak disunting sebelum membuat sebarang kesimpulan atau spekulasi lanjut mengenai niat peribadi beliau.

Tindakan Undang-Undang Bakal Diambil

Bagi melindungi integriti diri serta memelihara entiti perniagaan yang diwakilinya, beliau memaklumkan bahawa kes ini sedang dirujuk kepada penasihat undang-undang untuk tindakan selanjutnya.

Langkah perundangan yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan nama baik beliau serta reputasi dan goodwill syarikat HYGR sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk manipulasi maklumat.