Nota Editor: Beberapa hari lepas telah terpapar di akhbar Utusan Malaysia tentang kejayaan seorang ibu melahirkan anaknya di rumah dengan bantuan doula (peneman kelahiran). Untuk ini, kami bawakan pandangan dari Doktor Azreen Zulaikha, seorang doktor sakit puan yang bertugas di sebuah hospital kerajaan tentang risiko yang perlu diambil kira sebelum seorang wanita hamil mengambil keputusan untuk bersalin dengan kaedah yang sama. Semoga pandangan beliau ini membawa manfaat untuk anda.
Doula sekalian, sila belajar batas anda!
1. Saya merujuk kepada artikel bertajuk “Kaedah Kelahiran Fitrah” di akhbar Utusan, bertarikh 28 Mei 2015 yang menceritakan peranan doula atau peneman kelahiran, serta pengalaman seorang ibu yang berjaya melahirkan anaknya di rumah walaupun sudah mempunyai rekod 2 pembedahan caesarean.
2. Saya ialah seorang doktor yang bertugas di dewan bersalin, dan juga seorang ibu. Saya faham semua ibu mahu pengalaman bersalin yang dipenuhi kasih sayang dan secara semulajadi. Saya juga begitu.
3. Maka tidak hairanlah gerakan yang mempromosi kelahiran fitrah diterajui oleh doula atau peneman kelahiran menjadi semakin popular kebelakangan ini. Melalui kelas prenatal, mereka mengajar ilmu berkaitan proses kelahiran berserta kaedah bersalin secara alami. Saya bersetuju ibu-ibu yang berilmu akan lebih tenang mengharungi peritnya bersalin.
4. Kaedah kelahiran fitrah juga telah banyak membantu dalam ‘menegur’ dan seterusnya menambah baik perkhidmatan obstetrik di hospital-hospital, sama ada awam ataupun swasta supaya ibu dapat bersalin dengan lebih selesa.
5. Namun begitu ada sesetengah kaedah bersalin fitrah ini tidak selari dengan ilmu obstetrik dan membahayakan nyawa ibu serta anak. Menolak penggunan alat CTG contohnya, akan menyukarkan doktor mengesan dengan lebih awal tanda-tanda bayi lemas. Menolak alatan bantu kelahiran seperti vakum dan forceps seolah-olah doktor menggunakan alatan tersebut sesuka hati tanpa indikasi tertentu. Menolak penggunaan ubat-ubatan seperti pitocin walaupun untuk ibu-ibu yang berisiko tinggi mengalami tumpah darah selepas bersalin.
6. Sebagai mengatasi kekangan tersebut, para doula mula mempromosi kelahiran di rumah. Doula akan berada di rumah ibu untuk memberi sokongan moral ketika saat bersalin. Di rumah sendiri, ibu bebas menentukan kaedah bersalin yang mereka mahu, tanpa sebarang intervensi dan ubat-ubatan.
7. Namun begitu tidak semua kelahiran berjalan lancar. Terlalu banyak perkara yang tidak diingini boleh berlaku ketika proses kelahiran, kerana itulah buku-buku teks obstetrik tebal-tebal belaka. Malah, dalam Islam ibu yang meninggal dunia ketika melahirkan anak boleh mendapat mati syahid.
8. Doula-doula ini juga menyedari hakikat ini. Mereka sentiasa menekankan adanya Plan B; bilamana berlaku kecemasan ibu akan dibawa ke hospital segera. Di kawasan kejiranan anda, berapa cepat ibu boleh sampai ke hospital jika tiada ambulans bersiap-sedia mendapat makluman awal di mana rumah ibu yang sedang bertarung nyawa melahirkan anak?
9. Ibu-ibu yang memilih kelahiran di rumah perlu jelas menyedari tugas hakiki doula. Saya petik dari satu laman sesawang doula di Malaysia. “Your duties may include comfort and emotional support during labour and birth, but do not include medical observation, advice, diagnosis or treatment. Doulas are not certified nor qualified to provide primary care for mother nor baby and DO NOT SERVE TO RECOGNIZE OR TREAT EMERGENCIES that may arise during labour or birth”.
10. Persoalannya, jika doula tidak dilengkapi dengan ilmu perubatan kecemasan termasuk peralatan dan ubat-ubatan, bagaimana mereka begitu berani memperjudikan nyawa ibu dan bayi di tangan mereka? Mereka mempromosikan keselesaan, tetapi mereka melepaskan tanggungjawab bila tiba bab keselamatan.
11. Artikel tersebut menceritakan kejayaan ibu bersalin di rumah walaupun dua kelahiran sebelumnya adalah caesarean. Ibu yang mempunyai parut pembedahan di rahim dikategorikan sebagai kehamilan berisiko tinggi untuk mencuba bersalin normal kerana rahimnya mungkin pecah. Jika di hospital awam, ibu-ibu ini tidak dibenarkan bersalin di hospital daerah yang kecil kerana tiada kemudahan dewan bedah dan doktor pakar.
12. Pada saya dan rakan-rakan sepenjawatan, doula di dalam artikel itu sungguh tidak bertanggungjawab. Setidak-tidaknya beliau boleh menasihatkan ibu tersebut untuk bersalin di hospital, sambil menggunakan perkhidmatannya sebagai pemberi sokongan moral.
13. Ibu berkenaan sudah sedia maklum dirinya berisiko tinggi, namun tidak berusaha sepenuhnya mendapat perkhidmatan yang terbaik dan selamat. Tidakkah itu serupa membunuh diri?
14. Berikutan penyiaran artikel berkenaan, saya mendapati media sosial ibu tersebut sudah banyak dikerumuni dengan ibu-ibu lain. Ibu ini turut mengajar bagaimana untuk menipu pihak klinik dan hospital supaya tidak perlu mendapatkan pemeriksaan berkala kandungan mereka termasuklah ibu-ibu yang mempunyai parut pembedahan caesarean.
15. Siapa sebenarnya yang lebih prihatin dengan kesihatan ibu dan bayi secara keseluruhannya? Adakah doula-doula ini benar-benar ikhlas untuk mewujudkan pengalaman manis bersalin pada ibu-ibu? Adakah pendapatan lumayan daripada perniagaan doula ini telah mengabui akal dan fikiran mereka? Saya mendapati caj mereka bukannya murah, tiga orang ibu sebulan sudah menyamai gaji bulanan doktor di hospital kerajaan – tanpa menanggung risiko medicolegal!
16. Saya ingin mengesyorkan doula-doula yang dikatakan bertauliah ini supaya lebih bertanggungjawab. Jika ibu itu berisiko tinggi, sila nasihatkan ibu itu untuk bersalin di hospital, di samping masih menggunakan khidmatnya. Setidak-tidaknya, doula ini dapat berkongsi ilmu kelahiran fitrah dengan doktor dan jururawat supaya perkhidmatan obstetrik menjadi lebih baik dan selamat.
17. Jika doula ingin membantu ibu melakukan kelahiran di rumah, ambillah kes yang berisiko rendah sahaja iaitu kes-kes tag putih. Saya bukan hendak mengganggu periuk nasi anda. Gaji doktor dan jururawat di hospital awam tidak bertambah pun jika makin ramai ibu yang datang bersalin dengan kami. Kami cuma risaukan keselamatan ibu dan bayi.
18. Saya juga ingin menegur pihak Utusan kerana tidak peka dengan kesan penyiaran artikel berkenaan. Ianya ibarat menulis artikel bertajuk, “Lelaki masih sihat walaupun sudah 40 tahun merokok”, ataupun “Remaja selamat selepas kemalangan dengan lori walaupun tidak memakai topi keledar”. Mereka secara terbuka telah menyokong aktiviti yang membahayakan masyarakat. Ini sepatutnya tidak berlaku di akhbar aliran perdana sepertinya.
BACA: Penjelasan Dari Pelajar Perubatan Tentang Prosedur Pasang Jarum Waktu Bersalin Di Hospital
BACA juga: Penjelasan Mudah Tentang Vaksin Yang Wajar Diberi Perhatian Agar Tidak Terus Keliru