Sebanyak 23,149 unit rumah siap dibina bernilai RM13.94 bilion masih belum terjual setakat akhir tahun 2024, lapor New Straits Times.
Lebih 60 peratus daripada hartanah ini merupakan kondominium dan apartmen. Sementara 13.8 peratus lagi terdiri daripada rumah teres dua tingkat.
Baca Juga:
- ‘Cuma Cat Tertumpah Je’ – Siaran Iklan Rumah Lelong Ini Buat Ramai Geli Hati
- Individu Berpangkat Datuk Didakwa Kuat ‘Spin’ Dan Tidak Bayar Sewa Rumah 8 Bulan
- Rumah Kedai Lama Di George Town Bakal Dijual Pada Harga RM400 Juta
Sebanyak 5,374 unit rumah adalah dalam lingkungan harga RM200,000 hingga RM300,000. Kemudian rumah berharga antara RM300,000 hingga RM400,000 (3,863 unit) dan rumah dalam lingkungan RM500,000 hingga RM600,000 (2,902 unit), lapor Utusan Malaysia yang memetik Laporan Pasaran Hartanah Negara 2024.
Hanya 789 unit rumah berharga di bawah RM100,000 yang masih belum terjual, manakala 1,461 unit berada dalam julat harga RM100,000 hingga RM200,000.
Kuala Lumpur catat jumlah tertinggi rumah tak terjual
Kuala Lumpur mencatat jumlah tertinggi rumah tidak terjual dengan 4,234 unit, diikuti oleh Johor (2,964 unit), Perak (2,844 unit) dan Pulau Pinang (2,796 unit).
Negeri-negeri lain yang turut mencatatkan rumah tidak terjual termasuk Selangor (2,075 unit), Negeri Sembilan (1,623 unit), Sabah (1,524 unit), Sarawak (1,512 unit), Pahang (1,267 unit), Kedah (701 unit), Melaka (605 unit), Kelantan (393 unit), Putrajaya (352 unit), Terengganu (173 unit), Perlis (45 unit) dan Labuan (41 unit).
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Profesor Mohd Khairudin Abd Halim, berkata pihak berkuasa perlu menangani isu rumah tidak terjual semasa merangka dasar perumahan.