Kemas kini: Nilai RM48.873 bilion yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 bukan merupakan jumlah ketirisan atau kerugian seperti yang disalah lapor oleh beberapa portal berita, sebaliknya adalah nilai kos keseluruhan program, aktiviti dan projek yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, laporan yang tidak tepat berpotensi mencetuskan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap pengurusan kewangan negara.
“Secara umumnya, LKAN 2/2025 mengenai aktiviti kementerian, jabatan, badan berkanun dan syarikat kerajaan Persekutuan mengandungi perkara yang dibangkitkan hasil pengauditan terhadap lima program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian dengan nilai kos keseluruhan sebanyak RM48.873 bilion,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebanyak tujuh kementerian kerajaan didapati terpalit dengan pelbagai ketirisan serius, menurut Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan hari ini, lapor The Edge.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan medianya menjelaskan bahawa pemeriksaan audit dan semakan susulan yang dijalankan antara tahun 2024 hingga Jun 2025 telah membongkar pelbagai “ketidakpatuhan serius” dan “kelemahan ketara” dalam tadbir urus kewangan dan pelaksanaan projek kerajaan.
Laporan Audit: Felcra, UKM, TDM
Antara penemuan utama termasuk isu dalam urus niaga Felcra Berhad yang melibatkan perolehan ladang kelapa sawit bernilai RM241.76 juta dari tahun 2022 hingga 2024.

Dalam masa yang sama, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut didapati gagal menguruskan proses tender secara telus bagi perolehan bernilai RM58.45 juta.
Pengurusan kontrak dan tadbir urus perolehan bagi kenderaan berperisai milik Tentera Darat Malaysia dari tahun 2020 hingga 2023 juga didapati lemah, menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan dan keberkesanan pengurusan aset pertahanan negara.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut menjadi tumpuan apabila pelaksanaan program subsidi minyak masak didapati tidak berjaya menyasar penerima yang sepatutnya.

Tambahan pula, pengagihan kuota subsidi minyak masak juga tidak efisien dan gagal dikawal dengan baik.
Satu lagi dapatan penting adalah mengenai kaedah perolehan ‘pra-kelayakan terpilih’ yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan bagi projek pada tahun 2023 dan 2024.
Laporan menyatakan kaedah ini terbuka kepada manipulasi kerana syarikat yang tidak layak masih berjaya disenarai pendek untuk penilaian akhir.
Tambahan pula, proses perolehan tersebut dikritik kerana terlalu mengambil masa melebihi tempoh yang ditetapkan.
Sebagai langkah pembetulan, Laporan 2025 ini telah mengemukakan 22 cadangan kepada kementerian, jabatan dan syarikat yang terlibat.

Berkat pemerkasaan kuasa audit melalui pindaan Akta Audit 1957, Jabatan Audit Negara kini bukan sekadar memeriksa tetapi juga berkuasa melakukan siasatan susulan ke atas tindakan yang diambil pihak berkaitan.
Hasil ini, kerajaan berjaya memulihkan sejumlah RM157.73 juta dalam bentuk penalti, denda, kutipan cukai serta tuntutan sewaan dan pampasan kelewatan projek (LAD).
Bagi tempoh tahun 2024 hingga bulan Jun 2025, susulan audit yang dilaksanakan oleh JAN telah berjaya membantu Kerajaan mendapat bayaran balik berjumlah RM157.73 juta, antaranya menerusi tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah, kutipan duti dan cukai.
Orang ramai boleh merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara yang diterbitkan secara rasmi melalui laman sesawang Jabatan Audit Negara di www.audit.gov.my bagi mendapatkan gambaran tepat dan menyeluruh terhadap dapatan audit yang dibentangkan.