Pelakon Britain, Robert Pattinson secara rasmi diumumkan sebagai teraju utama yang bakal menggalas watak ikonik perisik British, James Bond, dalam filem terbaharu terbitan Amazon MGM Studios.

Pengumuman bersejarah itu menandakan bermulanya era baharu bagi francais perisikan paling masyhur dalam sejarah perfileman dunia tersebut. Filem yang dinanti-nantikan ini bakal diarahkan oleh pembikin filem tersohor, Denis Villeneuve, berdasarkan skrip tulisan Steven Knight.

Barisan penerbitan turut diperkuatkan dengan gandingan Amy Pascal dan David Heyman masing-masing menerusi syarikat Pascal Pictures dan Heyday Films, manakala Tanya Lapointe bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Pattinson menyifatkan peluang menjayakan watak ejen 007 itu sebagai penghormatan tertinggi dalam kerjaya seninya.

“James Bond merupakan antara watak paling legenda dalam dunia perfileman dan diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai 007 adalah satu penghormatan seumur hidup. Saya amat berterima kasih kepada Denis, Amy, David, Tanya serta seluruh warga Amazon MGM Studios atas keyakinan mereka terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan peluang tersebut sebagai impian yang menjadi kenyataan dan teruja untuk memulakan kerjasama dengan pasukan produksi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Prime Video dan Amazon MGM Studios, Mike Hopkins berkata, pelantikan Pattinson merupakan detik penentu serta pencapaian penting dalam sejarah francais James Bond yang telah memukau penonton global selama lebih enam dekad.

“Keupayaan lakonan Robert yang luar biasa, aura memikat di layar perak serta ketenangan penuh misteri yang dimilikinya menjadikan beliau pilihan tepat untuk meneruskan legasi ini. Dengan gandingan barisan kreatif bertaraf dunia, kami bersedia membuka lembaran baharu buat 007,” ujarnya.

Ketua Filem Amazon MGM Studios, Courtenay Valenti pula menegaskan pihaknya sentiasa berusaha menghormati legasi serta peminat setia watak tersebut, sambil menyatakan keyakinan bahawa Pattinson mampu membawakan kelainan yang istimewa.

Dalam pada itu, pengarah Denis Villeneuve turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pelakon berbakat yang terlibat dalam proses pemilihan sebelum ini, namun menegaskan hanya seorang sahaja yang layak menjadi 007.

“Robert memiliki jiwa klasik 007 yang malar segar dan pada masa sama membawa semangat baharu sepenuhnya. Saya tidak sabar untuk memulakan penggambaran,” katanya.

Penerbit bersama, Amy Pascal dan David Heyman menyifatkan keberanian Pattinson dalam mencorak lakonan serta kebolehannya sentiasa memperbaharui diri menjadikannya calon paling ideal untuk menghidupkan watak Bond bagi generasi masa kini.

Sepanjang lebih dua dekad berkecimpung dalam industri seni, Pattinson mengukuhkan reputasi sebagai antara pelakon paling versatil menerusi pembabitan dalam filem bebas mahupun karya terbitan studio gergasi.

Untuk rekod, Amazon mengambil alih MGM pada tahun 2022 sebelum memeterai perjanjian usaha sama baharu bersama Barbara Broccoli dan Michael G. Wilson pada Mac 2025, yang menyaksikan Amazon MGM Studios memperoleh kawalan kreatif penuh terhadap hak harta intelek James Bond.

Sumber