Penyerang CD America de Cali, Rodrigo Holgado difahamkan semakin hampir untuk bersama menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan.

Skuad negara pada ketika ini sedang dalam persiapan untuk menghadapi perlawanan sukar berdepan Vietnam pada 10 Jun nanti dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan laman X America En La Red yang sentiasa berkongsikan informasi atau berita mengenai kelab Colombia itu, segala proses dokumentasi melibatkan penyerang berusia 29 tahun itu diselesaikan.

Sehubungan dengan itu, Holgado dikatakan akan terbang ke Malaysia untuk menyertai rakan sepasukan baharunya itu.

Laman tersebut juga turut mendedahkan bahawa pengurus pasukan, Jorge Da Silva mengesahkan perkembangan terkini itu dalam satu sidang media.

Menurut tinjauan di Transfermrkt, Rodrigo Holgado membuat 22 penampilan bersama CD America de Cali pada musim 2024/25 dan telah menjaringkan lapan gol dimana tujuh daripadanya terhasil dalam kempen liga utama Colombia.

Kehadiran Rodrigo Holgado Dinantikan

Meskipun masih belum ada pengumuman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perkembangan terbaharu ini pastinya membuatkan peminat bola sepak tanah air teruja untuk menyaksikan sumbangan yang bakal dijelmakan Holgado.

Sebelum ini, Hector Hevel dan Gabriel Palmero yang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pantas membuktikan sumbangan positif mereka ketika menyarung jersi keramat negara.