Seorang pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja berasal dari Malaysia, Amirul Arif Bin Mohd Yunos, telah dijatuhi hukuman penjara selama 8.5 tahun selepas mengaku bersalah atas lapan tuduhan eksploitasi seksual, termasuk serangan seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Namun, keputusan mahkamah ini mencetuskan kemarahan ramai apabila dia tidak didakwa atas tuduhan rogol, meskipun bukti menunjukkan berlakunya kejadian kejam dan berulang.

Menurut laporan Irish Independent, mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun, diperkenalkan kepada Amirul oleh ibu bapanya yang meminta bantuan selepas pandemik Covid-19.

Amirul, seorang pakar psikiatri kanak-kanak yang dipercayai menawarkan sesi “terapi” percuma.

Tetapi, terapi tersebut menjadi permulaan kepada penderaan yang kejam.

Menurut keterangan mahkamah, Amirul memulakan proses grooming dengan mendekati mangsa secara rahsia tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Dia menghantar mesej peribadi, membelikan hadiah mahal, memberi wang, dan memanipulasi emosinya sehingga mangsa bergantung sepenuhnya kepada dirinya.

Dia juga menghantar video lucah dan menyuruh mangsa “mengkajinya” sebagai persiapan untuk pertemuan mereka.

Mangsa mendedahkan bahawa Amirul mula bertanya soalan tidak senonoh, seperti saiz bra, sebelum melakukan sentuhan yang tidak diingini.

Dari situ, penderaan tersebut meningkat kepada hubungan seksual, termasuk paksaan yang menyebabkan kecederaan dalaman pada mangsa.

Sebahagian besar penderaan seksual berlaku di tempat kerjanya sendiri, pejabat CAMHS di Clonskeagh, Dublin.

Amirul mengarahkan mangsa masuk secara rahsia ke pejabat itu melalui laluan belakang, termasuk merangkak di bawah laluan kecemasan untuk mengelak dirakam CCTV.

Mangsa menggambarkan bagaimana Amirul menggunakan kekerasan, termasuk menutup mulutnya hingga sukar bernafas, dan menyebut perbuatannya sebagai “pelajaran biologi.”

Selepas didera, mangsa sering mengalami pendarahan dan trauma secara fizikal sehingga memerlukan rawatan perubatan.

Mangsa yang kini berusia 17 tahun dilaporkan telah mengalami PTSD yang teruk, kemurungan, insomnia, dan gangguan makan.

Selain itu, mangsa juga telah cuba membunuh diri tiga kali akibat tekanan yang ditanggung sejak pendedahan kes ini.

“Ia menghancurkan hidupnya. Sebelum ini, dia seorang gadis ceria, bijak, dan berprestasi tinggi. Sekarang, dia hidup seperti mayat berjalan,” kata ibunya dalam sebuah kenyataan.

Amirul mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan hubungan seksual dengan kanak-kanak bawah umur, satu pertuduhan eksploitasi seksual, dan satu lagi bertemu kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual.

Namun, dia tidak didakwa atas tuduhan rogol.

Dengan hukuman 8.5 tahun, dan pengurangan 25% untuk tingkah laku baik, Amirul dijangka dibebaskan dalam kurang dari lima tahun.

Selepas itu, dia akan dihantar pulang ke Malaysia.

Keluarga mangsa juga mengkritik keluarga Amirul kerana menawarkan pampasan sebanyak €2,000 kepada mangsa dan menganggap ia adalah satu ‘penghinaan besar’ oleh keluarga mangsa.