Penyerang import KL City, Romel Morales kemungkinan mencari haluan baharu pada musim depan apabila dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

Menurut pendedahan wartawan tempatan, T. Avineshwaran, JDT dan Selangor berminat untuk mendapatkan khidmat pemain kelahiran Colombia itu bagi memperkuatkan jentera serangan.

Baca Juga:

Morales dijangka bergelar pemain naturalisasi dan bakal didaftarkan sebagai pemain tempatan musim depan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Morales sudah pun terima kad pengenalan warganegara Malaysia dan pemain yang berusia 26 tahun itu berpeluang sarung jersi Harimau Malaya.

Morales menyertai KL City pada 2021, selepas meninggalkan Melaka United, tetapi dia telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2018, dan pernah bermain untuk PKNS FC selama dua musim.

Jika semua proses naturalisasi berjalan lancar, Morales boleh menyertai skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 bulan Mac tahun depan.

Sebelum ini, MFL telah meluluskan permohonan Sri Pahang untuk mendaftarkan Lee Tuck dan Aguero sebagai pemain tempatan.

Kelulusan mana-mana pemain naturalisasi akan dibuat berdasarkan Peraturan Kelayakan yang termaktub dalam Statut Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) iaitu tinggal selama lima tahun berturut-turut di negara tersebut sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Setakat ini, Malaysia sudah mempunyai 7 pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Endrick Dos Santos, Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi, Sergio Aguero, Lee Tuck dan kapten KL City, Paulo Josue.

Pada 17 Ogos 2021, FAM membuat keputusan untuk menghentikan program naturalisasi, namun pasukan Liga Malaysia masih boleh membuat permohonan kepada kerajaan untuk menaturalisasikan pemain masing-masing.