Legenda bola sepak, Ronaldo Luis Nazario de Lima atau lebih dikenali sebagai ‘Ronaldo 9’ dilaporkan telah menawarkan diri untuk menjadi calon Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF).

Perkembangan terkini itu disahkan oleh wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano dalam satu hantaran di laman sosial peribadinya.

Baca Juga:

Pemenang dua edisi Piala Dunia (1994 dan 2002) yang kini turut merupakan pemilik pasukan Real Valladolid dalam saingan LaLiga itu serius mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak Brazil.

Malah, Ronaldo sendiri menerusi hantaran di laman Instagram miliknya turut meluahkan perasaannya untuk membantu bola sepak Brazil.

“Saya 100% bersedia, teruja, bermotivasi, dan saya mempunyai ramai orang hebat yang ingin membantu.”

“Saya sangat teruja dengan kemungkinan untuk mengembara ke seluruh Brazil untuk bercakap dengan pengarah persekutuan dan kelab, dan saya percaya kami mempunyai cerita yang menarik untuk ditulis tidak lama lagi.”

“Ia adalah bola sepak Brazil yang membuka pintu untuk saya ke seluruh dunia. Bukan sebagai pemain, saya tidak bercakap tentang sejarah saya.”

“Bola sepak kita jauh lebih besar daripada saya. Saya bercakap tentang menggalas panji, beban yang datang bersamanya. Menjadi bola sepak Brazil di setiap sudut planet ini mewakili semangat nasional lama yang melampaui sempadannya.”

“Ya, kami (Brazil) masih menjadi satu-satunya pasukan yang memenangi Piala Dunia lima kali, tetapi, pada masa kini, bahkan konsep kecemerlangan kita jauh di bawah potensi kita,” tambah Ronaldo lagi.

CBF terdiri daripada 26 persekutuan negeri dan daerah, masing-masing mempunyai tiga undian bagi setiap ahli, 20 kelab di peringkat teratas Brasileirao (setiap satu dua undian), dan 20 kelab dalam liga B (setiap satu undian).

Sebelum pilihan raya, Ronaldo perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya empat persekutuan dan empat kelab dari bahagian atasan untuk membentangkan pencalonannya secara rasmi.

CBF pada ketika ini diketuai oleh Ednaldo Rodrigues yang berusia 70 tahun. Beliau telah dilantik pada 23 Mac 2022.