Ronny Chieng, pelawak terkenal kelahiran Johor Bahru yang kini menjadi hos The Daily Show, secara rasmi telah menjadi warganegara Amerika Syarikat dan dia sendiri mengaku, rasanya macam sertai ‘evil empire’.
Dalam satu temubual terbaru bersama podcast Variety’s Awards Circuit, Ronny berkongsi tentang perjalanannya selama tiga dekad untuk mencapai impian ini.
Dari Kecil Ronny Chieng Pasang Impian
Menurut Ronny Chieng, keinginan untuk kembali ke Amerika bermula sejak dia berusia 7 tahun, iaitu selepas dia meninggalkan negara itu pada tahun 1993.
“Saya dah rancang jadi warga AS sejak umur 7 tahun. Saya cuba nak kembali ke sini untuk buat stand-up, dan akhirnya dapat datang semula pada tahun 2015. Sekarang, sembilan tahun kemudian, saya akhirnya dapat kewarganegaraan,” kata Ronny.
Pelawak yang kini mempunyai dua kerakyatan — Malaysia dan Amerika — turut mendedahkan bahawa menjadi warga AS adalah langkah penting untuk kerjayanya dalam bidang komedi.
Banyak Tolak Tawaran Luar Negara
Beliau banyak menolak tawaran persembahan luar negara kerana fokus untuk membina nama di Amerika.
“Kalau saya keluar negara, saya nak tahu saya boleh balik semula ke semua benda yang saya bina di sini,” jelasnya.
Tapi walaupun dia gembira, Ronny tak nafikan rasa pelik dengan ‘timing’ untuk jadi warga AS, lebih-lebih lagi dengan situasi politik semasa yang sedang hangat, termasuk penggal kedua Donald Trump sebagai Presiden.
“Memang rasa pelik. Macam sertai satu empayar jahat. Tapi saya bukan sertai sebab itu. Kebetulan sahaja empayar jahat ini ada rancangan TV best dan pentas stand-up dalam Death Star,” katanya berseloroh.