Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd mengesahkan bahawa produk keluarannya mematuhi spesifikasi keselamatan makanan yang ditetapkan serta keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan, susulan kebimbangan pengguna yang timbul baru-baru ini.

Pengesahan tersebut diperoleh hasil ujian yang dijalankan oleh makmal bebas bertauliah ke atas produk-produk syarikat berkenaan.

Menurut kenyataan rasmi syarikat, pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan telah mengadakan lawatan pemeriksaan ke fasiliti pengeluaran Gardenia pada 10 November 2026 sebagai sebahagian daripada siasatan.

Pihak syarikat memaklumkan bahawa mereka telah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses pemeriksaan itu berlangsung.

“Pihak KKM berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) serta amalan keselamatan makanan yang dilaksanakan oleh pihak kami,” jelas Gardenia dalam kenyataan tersebut.

Gardenia turut menegaskan komitmen mereka terhadap piawaian kualiti dan penjagaan pengguna.

“Kami ingin memberi jaminan bahawa keselamatan makanan, kualiti produk serta kesejahteraan pengguna sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami,” katanya lagi.

Dalam pada itu, syarikat pengeluar roti berkenaan turut menzahirkan penghargaan kepada pengguna, rakan niaga serta pihak berkuasa atas kesabaran, persefahaman dan kepercayaan berterusan yang diberikan sepanjang tempoh siasatan dijalankan.