Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan aksi Piala AFF 2024 yang melibatkan skuad Harimau Malaya tidak akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen RTM (RTM).
Menurut Fahmi, kos untuk mendapatkan hak siaran Piala AFF terlalu tinggi dan bajetnya berada di luar kemampuan kerajaan.
Baca Juga:
- Ini Sebab RTM Tidak Siarkan Saingan Piala AFF 2024
- Info Tiket Piala AFF Mitsubishi Electric 2024
- Senarai Pemain Malaysia Ke Saingan Piala AFF 2024
“Dahulu kita beli satu siaran saja iaitu Piala AFF pada hujung 2022. Saya difahamkan pemegang hak siaran Piala AFF tak mahu jual satu saluran saja namun perlu ambil lima saluran sukan.
“Kos terlalu tinggi untuk Piala AFF. Inilah keadaan kita pada waktu ini dan kita tak mampu kerana luar daripada bajet.
“Jika dilihat kembali, kos dahulu beli dalam RM1.7 juta namun sekarang minta dalam RM14 juta untuk lima saluran sukan. (Ia) terlalu mahal,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Perkembangan ini ternyata mengecewakan rakyat Malaysia yang berharap dapat menonton perlawanan Piala AFF menerusi RTM di rumah masing-masing.
Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama Kemboja, Singapura, Thailand dan Timor Leste.
Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente bakal membuka kempen Piala AFF 2024 menentang Kemboja di tempat lawan pada 8 Disember ini.
Skuad kali ini menampilkan gabungan seimbang pemain berpengalaman dan muda iaitu dengan lapan pemain berusia 23 tahun ke bawah. Purata umur skuad ialah 25.9 tahun.
Beberapa pemain muda berpotensi turut terpilih antaranya Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil.
Skuad ini juga menampilkan muka baharu lain seperti Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Harith Samsuri.