Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman memberikan sebab mengapa RTM tidak akan menyiarkan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.

Menerusi akaun media sosial miliknya, Datuk Suhaimi berkata harga yang terlalu tinggi untuk mendapatkan hak penyiaran menyebabkan stesen itu memutuskan untuk tidak menyiarkan saingan Piala AFF kali ini.

Baca Juga:

“Kali ini, pemegang hak siaran Piala AFF mengenakan syarat baharu – jika RTM mahu siarkan Piala AFF, RTM perlu membeli pakej yang mengandungi empat sukan yang tidak diperlukan oleh RTM.

“Harga yang ditawarkan oleh pemegang hak melebihi RM13 Juta. RTM telah berunding berkali-kali dan mereka menurunkan sedikit tetapi harganya masih jutaan ringgit. RTM perlu membeli semua sukan dan tidak boleh membeli asing.

“Kami mesti berhemah dalam berbelanja. Rakyat masih boleh menonton Piala AFF, tetapi di saluran Astro. Kami cuba sedaya upaya untuk membawakan pebagai acara sukan kepada penonton secara percuma tetapi kami tidak sanggup untuk membayar harga yang amat tinggi dan ini semua adalah wang rakyat,” katanya.

Perkara ini nyata mendapat reaksi yang kecewa dari kebanyakan rakyat Malaysia yang mengharapkan stesen televisyen itu menayangkan saingan Piala AFF edisi kali ini.

Malaysia di bawah bimbingan Pau Marti Vicente diundi dalam kumpulan A bersama Kemboja, Singapura, Thailand dan Timor Leste.