Saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 bakal membuka tirai tidak lama lagi dimana pasukan di Asia Tenggara bakal bersaing bagi merebut trofi paling berprestij di rantau ini.

Skuad Harimau Malaya diundi dalam kumpulan A bersama juara bertahan iaitu Thailand, seteru dari seberang tambak iaitu Singapura, Kemboja dan Timor Leste.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini telah mengeluarkan harga tiket yang akan dikenakan terhadap penyokong yang mahu menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan negara di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia akan menghadapi dua perlawanan di laman sendiri iaitu Timor Leste pada 11 Disember dan Singapura pada 20 Disember.

FAM meletakkan harga tiket sebanyak RM30 kepada peminat dewasa dan RM5 untuk peminat kanak-kanak untuk bahagian tempat duduk terbuka.

Di bahagian grandstand pula, badan induk bola sepak negara itu meletakkan harga sebanyak RM50 manakala bagi peminat yang mahukan tempat duduk premium, mereka perlu membayar sebanyak RM60.

Harga tiket akan berubah sekiranya Malaysia berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir ataupun akhir.

Ketua jurulatih pasukan, Pau Marti masih belum mengumumkan barisan pemain yang akan membawa cabaran pasukan negara dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.

Beberapa perubahan bakal dilakukan ekoran dua kelab iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor masing-masing perlu beraksi di peringkat Asia iaitu AFC Champions League (ACL) Elite dan ACL 2 dan mereka mungkin tidak melepaskan pemain utama bagi menyertai skuad kebangsaan.

Pau Marti mungkin menggunakan kombinasi pemain skuad B-22 Tahun dan juga pemain senior pasukan kali ini bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain utama yang tidak dipanggil.

Dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, skuad Harimau Malaya berjaya mara ke peringkat separuh akhir dimana mereka tewas kepada Thailand yang kemudiannya muncul sebagai juara.